Bams yakin masih diminati walaupun telah berkahwin.BEKAS vokalis kumpulan Samsons iaitu Bambang Reguna Bukit atau Bams yakin masih diminati meskipun telah berkahwin dengan Mikhavita Wijaya pada 17 Januari lalu.Kapan Lagi melaporkan Bams tidak melihat perkahwinan akan menjejaskan kerjaya seninya kerana peminat hari ini semakin terbuka dan lebih mementingkan bakat seseorang artis. "Isu peminat tidak lagi suka saya kerana sudah berkahwin adalah sesuatu yang tidak masuk akal kerana yakin mereka akan terus setia meminati kerana bakat dan bukannya kepada status bujang atau pun berkahwin," katanya.Dalam pada itu, Bams berkata, walaupun dia dan isterinya berbeza usia selama lima tahun namun dia yakin wanita berkenaan pilihan paling tepat bagi menemaninya sepanjang hayat.Jelas Bams, persefahaman dan toleransi di antara pasangan adalah kunci kepada kebahagian rumah tangga dan bukannya pada usia."Ini dinamakan jodoh dan jika bercakap mengenai kriteria itu tidak penting kerana saya sendiri tahu dia (isteri) adalah pasangan paling sesuai dengan saya," jelasnya.Ditanya mengenai soal anak, Bams berkata, dia tidak mahu menunggu lama dan ingin segera memiliki cahaya mata bagi menguatkan lagi kasih sayang mereka suami isteri.Bams sebelum ini popular menerusi lagu Kenangan Terindah sebelum memutuskan untuk bergerak secara solo.