suria

Kamal Adli & Fizz Fairuz Sudah Selesaikan Salah Faham

Kamal Adli
Kamal Adli

PETALING JAYA: Pelakon Kamal Adli tidak mempunyai sebarang masalah dengan pelakon Fizz Fairuz selepas kontroversi penarikan diri pelakon tersebut daripada program Liga Lawak Superstar (LLS).

Kamal berkata, mereka sudah menyelesaikan salah faham, tersebut dengan baik dan menganggap ia hanyalah salah faham semata-mata.

"Hubungan saya dengan Fizz Fairuz baik sahaja, ia hanyalah salah faham dan ketika berita mengatakan kami mempunyai rasa tidak puas hati itu tersebar, saya terus menghubunginya untuk menjelaskan hal sebenar.

"Dia pun tidak terasa hati mengenai perkara itu, malah datang ke pertandingan akhir program tersebut untuk beri semangat kepada kumpulan kami," katanya kepada mStar Online.

Kamal berkata demikian ketika ditanya tentang hubungannya dengan pelakon Fizz Fairuz selepas kontroversi Liga Lawak Superstar (LLS) sebelum ini.

Pada laporan mStar Online pada 28 November 2013, Kamal mengakui kecewa terhadap pelakon tersebut apabila menarik diri daripada kumpulan mereka iaitu Apa Kasih Toq.

Selain Kamal Adli dan Fizz Fairuz, kumpulan berkenaan turut dianggotai Didie Alias.

Bagaimanapun selepas penarikan diri Fizz itu, tempatnya digantikan oleh Syafiq Kyle.

Dalam pada itu, Kamal berkata, dia dan Fizz kini dalam perancangan untuk membantu seorang kanak-kanak bernama Adam Haikal yang menderita penyakit kerosakan buah pinggang.

"Saya dan Fizz baru-baru ini ada berbincang untuk membantu seorang kanak-kanak yang menderita penyakit kronik yang ingin mendapatkan rawatan buah pinggang, tapi masih lagi dalam perbincangan," katanya.

Sementara itu, Kamal yang bakal keluar dengan drama Jiwa mengakui berasa agak gementar untuk berlakon di samping pelakon-pelakon hebat seperti Faizal Hussein dan Remy Ishak.

Tambah Kamal, dia terpaksa berusaha memberi tahap lakonan yang setanding dengan pelakon-pelakon tersebut.

"Cabaran utama dalam drama ini ialah untuk meletakkan diri dan lakonan saya setaraf dengan mereka.

"Alhamdulillah, kesemua berjalan lancar dan masing-masing mempunyai karakter tersendiri," katanya.

Drama ini turut membariskan pelakon popular seperti Faizal Hussein, Remy Ishak dan Siti Elizad.

Ia akan disiarkan bermula 5 Februari depan di slot Aksi (TV3) pada setiap Rabu pukul 9 malam.

Artikel Lain