ACARA karpet merah sesebuah anugerah tidak lengkap sekiranya ia tidak diserikan dengan penampilan artis-artis dengan gaya tersendiri.Tidak ketinggalan, Anugerah Juara Lagu 28 (AJL 28) yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil pada malam Ahad lalu. Bersesuaian dengan temanya, Game On! barisan artis tampil dengan busana yang ada di antaranya mengikuti tema dan selebihnya mengikut keselesaan masing-masing.Tampil mengadakan persembahan pembukaan AJL 28, penyanyi yang sedang mencipta nama di shanghai, China, Shila Amzah memilih pakaian rekaan Raffiey Nasir pada malam tersebut.Memilih warna hitam dan putih, Shila berjaya menzahirkan konsep Game On! dan masih kelihatan sopan sesuai dengan imejnya yang bertudung.But tinggi berwarna hitam melengkapkan imej wanita tersebut supaya kelihatan anggun dan berkeyakinan.Sesuai dengan status Diva, Ziana Zain tampil anggun dengan pakaian rekaan Rizman Ruzaini dari rona kuning air dengan solekan tipis menaikkan lagi gaun yang dipakai oleh penyanyi itu.Walaupun kelihatan sedikit berisi, Ifa Raziah tampil berani dengan pakaian dari butik Versace dengan warna terang sesuai dengan imejnya yang sentiasa ceria.Disesuaikan dengan kasut dari rona sama, Ifa turut melengkapkan gayanya dengan tas tangan saiz sederhana pada malam itu.Pelakon drama bersiri Projek Memikat Suami, Sherry Ibrahim pula memilih Wan Pa dengan berinspirasikan Barbie bagi menepati tema pakaian malam itu.Mengekalkan kesederhanaan dalam berpakaian, Sherry turut memilih tas tangan dari rona gelap dan kasut berwarna perak untuk berjalan di karpet merah.Sementara itu, pelakon Yana Samsudin mengambil inisiatif untuk mengitar semula pakaian daripada koleksi peribadinya dan menambah aksesori yang dibeli berasingan untuk tampil menawan pada malam itu.Hanis Suraya pula tampil ringkas dengan busana berwarna hijau dipadankan dengan tas tangan berwarna merah. Perhatian yang diberikan kepada solekan dan gaya rambut menaikkan penampilan pelakon itu.Finasil AJL 28, Alyah tampil cukup ringkas namun cukup elegen dalam persalinan rona hijau pucuk pisang dipadankan dengan tudung berwarna hitam.Baharu bergelar isteri, penyanyi Farawahida memilih Jimmy Couture menerusi gaun daripada kain lace berwarna cokelat cukup anggun.