suria

Deejay JJ Tinggalkan Suria FM

JJ meninggalkan Suria FM berkuatkuasa pada Jumaat.
JJ meninggalkan Suria FM berkuatkuasa pada Jumaat.

PETALING JAYA: Penyampai radio Suria FM iaitu JJ membuat keputusan meninggalkan stesen radio itu, berkuat kuasa pada Jumaat.

JJ atau nama sebenarnya, Borhanuddin Abdullah, 45, berkata, dia berbuat demikian selepas mempertimbangkan tawaran untuk berkhidmat di stesen radio Best FM (dahulunya Best 104) yang berpejabat di Johor Baharu, Johor.

"Alhamdulillah, saya kembali semula ke Best FM. Saya pernah berkhidmat di sana selama dua tahun iaitu pada 1994 hingga 1996.

"Namun, perasaan bercampur baur tetap ada untuk meninggalkan Suria FM. Saya akui banyak pengalaman yang ditimba sepanjang lapan tahun berada di sini," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Jumaat.

JJ berkata, keputusan itu juga dibuat kerana mahu mencuba sesuatu yang baharu selain ditawarkan memegang jawatan sebagai pengurus program.

Jelas JJ, segala ilmu dan tunjuk-ajar rakan-rakan di Suria FM akan digunakan sebagai panduan untuk membawa kelainan di tempat baharu itu nanti.

"Terima kasih di atas semua tunjuk ajar dan sokongan rakan-rakan semua. Tanpa mereka, saya tidak akan sampai ke tahap ini. Bermula dari seorang penyampai biasa sehinggalah dikenali ramai," katanya.

Anak kelahiran Parit Raja, Batu Pahat, Johor ini mula berkhidmat di Suria FM pada 2006 dan jawatan terakhirnya di stesen itu ialah pembantu pengurus program.

Beliau mengendalikan segmen Suria Retro yang ke udara bermula pukul 8 malam hingga 10 malam setiap Sabtu.

Selain itu, JJ juga pernah berkhidmat sebagai penyampai di stesen radio, RFM dan Red FM.

Sementara itu, JJ berharap agar Suria FM terus sukses dan tetap menjadi stesen radio pilihan utama pendengar.

"Saya doakan agar Suria FM terus sukses dan kekal di hati pendengar. Terima kasih untuk segalanya," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain