David akan tetap menyokong kerjaya lakonan Yana Samsudin walaupun aktres itu tidak lagi dibawah pengurusan MIG. PETALING JAYA: Produser filem David Teo menjelaskan pihaknya berjaya mendidik Yana Samsudin sehingga menjadi artis yang berdisiplin sepanjang 11 tahun bersama mereka.David berkata, pelakon itu seorang yang sabar dan boleh menerima teguran dengan baik sekiranya timbul sebarang masalah. "Susah untuk mencari artis seperti Yana kerana dia seorang yang sangat penyabar dan tabah dalam mengharungi dugaan dalam mengecap kejayaan."Namun berkat kesabaran itu akhirnya terbayar dan saya sangat berbangga dengan segala pencapaian diperoleh Yana," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Khamis.David diminta mengulas keputusan Yana atau nama sebenarnya Norliana Samsudin, 30, untuk meninggalkan Metrowealth International Group (MIG) apabila kontraknya bakal tamat pada 26 Februari ini.Yana menerusi laporan sebuah akhbar menafikan langkah dia tidak memperbaharui kontrak adalah disebabkan perasaan tidak gembiranya dengan syarikat berkenaan.Dalam pada itu jelas David, kualiti yang ada pada Yana membuatkan dia mampu bertahan sebagai seorang pelakon dan sikap sabar yang dipegangnya terbayar.Tambah David, Yana sudah cukup matang dalam bidang hiburan dan dia percaya pelakon itu mampu menguruskan kerjaya seninya dengan baik.Sementara itu, David berkata, dia berharap Yana tidak mudah terpedaya dengan permainan industri hiburan yang kadang-kala suka mengambil kesempatan terhadap selebriti popular sepertinya."Nasihat saya kepada Yana jangan terlalu mudah mempercayai orang lain dan nilai sesuatu perkara dari segi baik dan buruk sebelum membuat sebarang keputusan."Sebagai seorang bekas majikan saya sentiasa ada sekiranya dia mempunyai sebarang masalah," katanya.Jelas David, dia akan tetap mengambil Yana berlakon dalam filem-filem terbitan syarikatnya jika bersesuaian dan tidak melihat perkara itu sebagai masalah.