suria

Isteri Tegur Aaron Aziz Elak Lakukan Fisioterapi

Aaron Aziz
Aaron Aziz

PETALING JAYA: Pelakon Aaron Aziz yang perlu menjalani rawatan fisioterapi akibat menghidap sakit sendi tengkuk (cervical Facet Arthritis) pada September tahun lalu mengakui masih belum melakukan rawatan tersebut.

Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz, 38, berkata, memandangkan dia tidak suka berjumpa doktor membuatkan isterinya, Diyana Halik sering merungut kerana dia kerap memberikan pelbagai alasan.

"Sepatutnya, selepas pulang daripada penggambaran Fear Factor Malaysia pada Oktober tahun lalu, saya perlu menjalani rawatan fisioterapi selama enam bulan tetapi sehingga kini saya belum melakukannya.

"Bukannya apa, saya tidak suka ke hospital untuk menjalani rawatan tersebut kerana saya rasa ia seperti membosankan. Lagi pun saya memang degil tidak mahu buat rawatan itu sehingga isteri pun bising," katanya.

Pada September tahun lalu, mStar Online melaporkan Aaron telah dimasukkan ke Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur setelah mengadu sakit leher dan terpaksa diberi suntikan steroid kerana perlu menjalani penggambaran Fear Factor Malaysia.

Penyakit berkenaan menyebabkan lehernya menjadi senget dan tidak boleh bergerak.

Dengan nada gurau Aaron berkata, dia hanya akan menjalani rawatan fisioterapi seandainya menerima watak yang memerlukan dia beraksi lasak dan setakat ini, cukup melakukan rawatan sendirian di rumah.

Terdahulu, aktor kelahiran Singapura itu pernah beberapa kali dikejarkan ke hospital termasuklah akibat kecederaan yang dialami ketika berada di lokasi penggambaran.

Dalam perkembangan lain, Aaron bakal muncul sebagai hos Fear Factor Malaysia yang akan bersiaran pada setiap Sabtu, pukul 9 malam bermula 15 Februari ini menerusi saluran Astro Ria (104).

Aaron juga bakal muncul dengan filem terbaharu, Tembus dan Romeo Kota serta beberapa drama bersiri yang antaranya seperti Suamiku Encik Perfect.

"Alhamdulillah, selepas agak lama tidak muncul di televisyen, lakonan-lakonan yang saya jalani tahun lalu akan disiarkan sepanjang tahun ini dengan beberapa buah drama.

"Saya harap, para penonton tidak bosan dengan wajah saya yang bakal terpampang di televisyen," selorohnya.

Artikel Berikut

Artikel Lain