suria

Zizan Razak Tidak Nikahi Emma Maembong Waktu Terdekat

Zizan Razak
Zizan Razak

PETALING JAYA: Pelakon Zizan Razak tidak menafikan akan menamatkan zaman bujang dengan kekasihnya pelakon Emma Maembong, 20, dalam masa terdekat.

Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak, 30, berkata, dia memberi tempoh selama setahun untuk melihat perjalanan kerjaya masing-masing sebelum membuat keputusan mendirikan rumah tangga.

"Saya masih berfikir jauh untuk berkahwin, takut kalau cakap tidak jadi pula, kalau ada rezeki Insya-Allah saya akan beritahu.

"Buat masa ini saya ingin lihat perjalanan kerjaya kami selama setahun ini terlebih dahulu, lagi pula kedua-dua pihak belum lagi menetapkan sebarang tarikh untuk adakan apa-apa majlis sepanjang tahun ini," katanya kepada mStar Online.

Sementara itu, Zizan yang baru sahaja terkait dengan gosip kononnya bersekedudukan dengan wanita itu menganggap ia sebagai cabaran sebagai seorang selebriti.

Dia juga reda dan bersedia menjawab perkara tersebut dengan tenang.

"Saya reda sahaja jika itu cara mereka untuk cari rezeki dan saya hanya jawab dengan tenang.

"Saya juga tidak mahu tuduh sesiapa yang buat fitnah itu, namun saya bimbang apa yang saya cakap akan menimbulkan provokasi atau disalah tafsir," katanya.

Dalam pada itu, Zizan yang melakonkan watak adiwira Cicakman dalam filem Cicakman 3 menganggap cabaran utama adalah untuk memberi yang lebih baik daripada filem terdahulu.

Bagaimanapun, Zizan tidak menganggap lakonannya akan dibandingkan dengan pelakon yang membawa watak Cicakman sebelum ini iaitu Saiful Apek.

"Cabaran utama adalah untuk membawakan watak ini dengan baik dan memberi kesan yang sama atau lebih bagus daripada filem Cicakman sebelum ini.

"Namun saya tidak rasa lakonan saya akan dibandingkan kerana ia adalah kesinambungan daripada Cicakman terdahulu dan cerita ia berbeza," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain