suria

Syazwan Zulkifly & Zalfie Dikata Kembar Seiras

PETALING JAYA: Pelakon Zalfie Mohamad Nor mendedahkan, wajahnya yang mirip aktor Syazwan Zulkifly membuatkan banyak pihak terkeliru dan menyangka mereka adalah adik-beradik.

Zalfie atau nama sebenarnya Nor Zalfie Mohamad Nor, 36, berkata, sudah beberapa kali pihak produksi menawarkannya peranan dalam sesebuah projek kerana menyangka dia adalah Syazwan.

"Kekeliruan itu sudah biasa berlaku malah bukan sahaja kepada saya tetapi juga Syazwan kerana wajah kami yang dikatakan seiras.

"Ada produksi pernah memberitahu saya jika mereka ingin membuat sebuah filem atau drama yang memerlukan pasangan kembar mereka akan gandingkan saya dengan Syazwan," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun kata Zalfie, dia tidak berasa hati apabila pihak produksi terkeliru dengan persamaan itu kerana ia adalah satu kebetulan.

Malah kata Zalfie, hubungannya dengan pelakon filem Laga itu juga akrab dan mereka sering bertemu jika mempunyai waktu lapang.

"Saya tiada masalah kerana ia bukan disengajakan malah ia turut dialami oleh Syazwan dan ada juga kadang-kadang kami bercakap mengenai kekeliruan tersebut," ujarnya.

Sementara itu, Zalfie berkata, walaupun sudah enam tahun bergelar pelakon dia mengakui publisiti tentangnya kurang dipaparkan dalam media massa namun ia bukan satu masalah kepadanya.

Jelas Zalfie dia bukan mengelak atau melarikan diri daripada pihak media cuma kelibatnya dalam bidang seni masih belum di sedari.

"Saya juga jarang menghadiri acara hiburan dan sekiranya ada temu bual dan sesi bergambar yang ingin diadakan saya pula sibuk di lokasi penggambaran.

"Bagaimanapun walaupun kurang publisiti tetapi tawaran lakonan diterima cukup banyak sehingga ada kalanya terpaksa saya tolak," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Zalfie baharu sahaja selesai menjalani penggambaran sebuah telefilem berjudul Chef di samping Aaron Aziz dan pelakon terkenal Filipina, Jericho Rosales.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain