KUALA LUMPUR: Penyanyi dan gitaris, Mira Fana meninggalkan kumpulan Velvet kerana tidak serasi dengan genre muzik diperjuangkan kumpulan berkenaan yang lebih kepada irama pop rock. Mira atau nama sebenarnya, Amirah Farhanah Daud Ahmad, 21, berkata, jiwanya lebih kepada genre rock selain selesa bergerak sendiri untuk membina nama sebagai penyanyi dan pemuzik. "Saya tinggalkan Velvet bukan kerana masalah peribadi tetapi tidak serasi dengan perjuangan muzik yang diketengahkan dan lebih senang dengan rock," katanya kepada mStar Online. Mira bakal mengiringi persembahan Awie pada Konsert Teaterikal Suara Kita yang akan berlangsung pada 3 hingga 9 Mac depan di panggung Sari, Istana Budaya di sini. Selain Awie, penyanyi dan pelakon Ziana Zain dan Erra Fazira turut terlibat dalam persembahan itu. Dalam pada itu, Mira berkata, dia cukup teruja apabila dihubungi oleh pihak pengurusan Awie untuk hadir ke uji bakat atas permintaan penyanyi itu sendiri selepas menonton video persembahannya di laman YouTube. Mira Fana (dari kiri) Erra, Awie dan Ziana Zain bakal bergandingan dalam konsert Suara Kita yang bakal dipentaskan di Istana Budaya pada Mac. Kata Mira, dia berbangga terpilih bersama-sama menjayakan konsert itu dan mengakui gementar untuk berkongsi pentas dengan Awie. "Ia seperti mimpi menjadi kenyataan akan bermain gitar mengiringi nyanyian Awie pada malam itu nanti," katanya. Sementara itu, Awie berkata, dia tertarik dengan kebolehan Mira kerana kemampuannya memetik gitar setanding pemain profesional selain yakin wanita itu mampu pergi jauh dalam bidang seni. "Tidak ramai wanita yang mampu bermain gitar dengan baik seperti Mira dan bakat itu yang ingin saya ketengahkan. "Mira akan mengiringi persembahan saya sebanyak dua lagu pada malam itu nanti," katanya. Tambah Awie, dia juga mempunyai perancangan besar untuk karier nyanyian dan muzik Mira selepas tumpuan kepada teater itu berakhir.