suria

Farish Aziz Sertai Semula Suria FM Sabah

Farish bersama Rey akan mengendalikan segmen Ceria Pagi Sabah bermula 3 Mac ini.

PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara Farish Aziz tidak berfikir panjang apabila pihak pengurusan Suria FM menawarkannya untuk kembali berkhidmat dengan stesen itu bagi mengendalikan segmen Ceria Pagi Sabah.

Farish, 30, berkata, dia tidak susah membuat keputusan itu kerana pernah mengendalikan segmen sama sebelum ini dan menganggap tawaran tersebut sebagai rezeki anaknya yang baharu sahaja dilahirkan pada 27 Januari lalu.

"Suria FM adalah seperti keluarga buat saya dan tidak sukar membuat keputusan untuk kembali bersama stesen berkenaan malah saya cukup teruja selepas setahun tidak bersiaran," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Jumaat.

Ceria Pagi Sabah bakal bersiaran pada 3 Mac ini dari pukul 6 hingga 10 pagi, setiap hari Isnin hingga Jumaat khas buat pendengar di Sabah menerusi frekuensi 105.9 FM.

Segmen itu turut menampilkan penyampai radio, Reynaldo Pagi atau dikenali sebagai Rey.

Farish sebelum ini pernah berkhidmat dengan Suria FM pada Julai 2011 hingga Disember 2012 menerusi segmen sama yang ketika itu dikenali sebagai Ceria Pagi Kinabalu.

Pengurus Operasi Suria FM Sabah, Ivy Stanislaus bersama penyampai radio negeri itu iaitu Obie, Rey, Farish dan Lotter


Dalam pada itu, Farish berkata, dia turut mengambil peluang ini untuk memperkenalkan beberapa perkara baharu yang tidak sempat dilakukan semasa berkhidmat dengan stesen itu sebelum ini.

"Sebelum ini banyak perkara yang saya tidak sempat buat bersama Suria FM dan ini adalah peluang untuk saya lakukan bagi memastikan program itu nanti mendapat perhatian," jelasnya.

Sementara itu, Pengurus Operasi Suria FM Sabah, Ivy Stanislaus, berkata, program itu diwujudkan semula selepas menerima maklum balas memberangsangkan dari pendengar stesen tersebut di negeri itu.

Ivy berkata, bagi memastikan segmen berkenaan mendapat perhatian, pihaknya akan menampilkan kelainan yang lebih unik dan menitikberatkan cita rasa tempatan.

"Di antara sajian Ceria Pagi Sabah yang menarik ialah ‘Adui Punya Terkejut’ yang sama seperti ‘Terkejut Tak’ Ceria Pagi di Suria FM, ‘Cuba Ingat Balik’ berkisahkan jejak kasih, ‘Dibawa Bayu’ temu bual bersama orang Sabah yang berjaya dan ‘Ole Ole’, khas mengenai sukan.

"Ceria Pagi Sabah juga akan menyiarkan pilihan lagu-lagu tempatan Sabah dan akan diselitkan juga lagu-lagu terbaru dan 90-an oleh penyanyi-penyanyi popular tanah air," katanya.

Selain Farish dan Rey, Suria FM Sabah turut menampilkan penyampai lain seperti Lotter@dudu menerusi segmen Sampaikan Sabah dan Obie menerusi segmen Kupi Obie.

Studio siaran bagi program berkenaan terletak di Kota Kinabalu.

Artikel Berikut

Artikel Lain