PETALING JAYA: Penyampai radio Suria FM Sabah, Rey Kimara mengakui perkahwinannya dengan Valeria Veylo Paulus pada 1 Mac lalu telah mengubah dirinya menjadi seorang lelaki yang lebih baik. Rey, 28, berkata, dia kini lebih bertanggungjawab dalam pelbagai perkara dan keluarga adalah keutamaannya selepas bergelar seorang suami. “Saya berasa amat teruja apabila bergelar suami sehingga kadang-kadang saya tersasul memanggil nama isteri walaupun kami sudah sah sebagai pasangan. "Komitmen saya semakin besar namun ia mengajar saya erti tanggungjawab dan keluarga adalah perkara utama kepada saya selepas berkahwin," katanya. Rey dan Valeria, 27, melangsungkan perkahwinan di Gereja St. Thomas, Tuaran, Sabah dalam suasana sederhana tetapi meriah dengan kehadiran sanak saudara kedua-dua belah pihak. Rey dan isterinya bergambar kenangan bersama ahli keluarga. Lebih istimewa Rey turut menyanyikan sebuah lagu dan bermain gitar ketika pengantin perempuan berarak masuk ke dalam gereja sebelum mereka disatukan. Majlis resepsi pula diadakan pada sebelah malamnya di Dewan Datuk Sulaiman, Tuaran turut yang dihadiri oleh rakan penyampai Suria FM Sabah iaitu Obie serta rakan artis iaitu Felix Agus (AF3), Esther Applunius (One In A million), Marlenney Davreney, Ridah Malanjang dan Clarice John Matha. Artis Sabah lain yang turut hadir adalah S.Welly Fabian William, Nobita Beatbox Jovita Robert, Ateng, LP Raphael Pinus, Othoe dan Papier Mache. Selain itu, Rey berkata, bagi memulakan kehidupan baharu bersama isteri, dia telah membeli sebuah rumah dan mengimpikan keluarga besar. "Kami juga telah berpindah ke rumah baru dan mengimpikan empat orang cahaya mata. Harapan saya agar semuanya berjalan dengan lancar," ujarnya. Rey merupakan penyampai bersama Farish Aziz dalam segmen Ceria Pagi Sabah di Suria FM Sabah. Ia bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat dari pukul 6 pagi hingga 10 pagi khas buat pendengar di Sabah menerusi frekuensi 105.9 FM.