PETALING JAYA: Juara program realiti Anak Wayang musim pertama iaitu Hairi telah mendaftarkan diri ke kelas mengaji Al-Quran sebagai persiapan untuk bergelar suami pada satu majlis akad nikah, 22 Mac ini. Hairi atau nama sebenarnya, Mohd Hairi Safwan Aznan, 26, berkata, dia ingin memantapkan bacaan dan pemahaman Al-Quran supaya dapat membimbing isterinya apabila berkahwin kelak. "Saya tidak begitu gementar tentang majlis perkahwinan yang bakal berlangsung tetapi ada perasaan takut untuk mengharungi alam rumah tangga selepas berkahwin. "Atas sebab itu saya masuk kelas mengaji bagi memantapkan bacaan Al-Quran supaya dapat membimbing isteri kelak," katanya kepada mStar Online. Hairi dan bakal isterinya, Fara Afiza Azman, 24, yang juga anak kepada Editor Majalah Kuntum terbitan Star Publications (M) Berhad iaitu Asma Saad akan disatukan di Masjid Abdullah Fahim, Kepala Batas, Pulau Pinang. Majlis resepsi akan diadakan selepas akad nikah di Dewan Masjid At-Taqwa, Mak Mandin, Pulau Pinang, tidak jauh dari lokasi akad nikah. Tambah Hairi, dia juga mengikuti kelas agama bagi menambahkan ilmu dalam mengharungi rumah tangga dalam menjadi seorang suami yang soleh kepada isterinya. "Sejahil mana pun seseorang manusia itu kita mesti kena tahu tentang agama dan sebab itu saya mengikuti kelas berkenaan kerana tanggungjawab sebagai ketua keluarga bukan mudah," katanya. Sementara itu, Hairi mengakui, dia yakin untuk memperisterikan Fara kerana sifat wanita itu yang penyabar dalam pelbagai perkara selain pandai mengambil hati ibunya. Kata Hairi, Fara juga bijak menurunkan egonya sebagai seorang lelaki apabila timbul sesuatu perkara dan dia amat menyenangi sifat wanita berkenaan. "Dia seorang yang lemah lembut dan sentiasa sejukkan saya apabila saya marah. Dia ambil pendekatan seperti saya seorang pelajar sekolah. "Dia banyak mengajar saya agar lebih bersabar dan tidak terlalu mengikutkan kata hati," ujarnya. Tambah Hairi persiapan perkahwinan mereka telah siap sepenuhnya dan hanya menanti untuk disatukan sebagai suami isteri selain berharap majlis itu nanti akan berjalan lancar. Dalam perkembangan lain, Hairi berkata, dia bakal memasuki lokasi penggambaran drama bersiri Kerana Terpaksa Aku Relakan sehari selepas majlis perkahwinannya.