suria

'Jersey Boys' Sasar 2,000 Penonton Pelancong Asing

Jersey Boys dijangka mendapat sambutan pelancong asing kerana ia hanya akan dipentaskan khas di Istana Budaya pada tahun ini. Foto SAMUEL ONG
KUALA LUMPUR: Seramai 2,000 penonton daripada kalangan pelancong asing dijangka akan hadir menyaksikan pementasan teater muzikal bertaraf antarabangsa, Jersey Boys yang akan diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya April depan.

Ketua Pegawai Ekskutif, Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), Zulkefli Sharif berkata, teater muzikal daripada New York, Amerika Syarikat itu dijangka mendapat sambutan pelancong asing kerana ia hanya akan dipentaskan khas di Istana Budaya pada tahun ini.

"Jersey Boys tidak akan dipentaskan di mana-mana negara Asia Tenggara lain dan fokus kita adalah untuk menarik penonton asing dari rantau ini hadir ke acara tersebut.

"Kami yakin ia akan mendapat perhatian sebagai salah satu aktiviti untuk dilakukan sepanjang berada di negara ini," katanya.

Zulkefli ditemui pada sidang media teater muzikal itu yang diadakan di Istana Budaya di sini, Khamis.

Turut hadir pada acara itu adalah Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani dan Pengarah Urusan Milestone Production, Grace Lee.

Jersey Boys yang pernah memenangi 54 anugerah termasuk Grammy dan Tony bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 15 hingga 27 April depan.

Dalam pada itu, Grace berkata, pihaknya memilih untuk membawa teater muzikal berkenaan ke Malaysia bagi memperkenalkan produksi muzikal Broadway kepada masyarakat tempatan sekaligus meningkatkan industri pelancongan negara.

Malah kata Grace, pihak produksi Jersey Boys juga akan menerbangkan semua kelengkapan asal teater berkenaan dari New York bagi memastikan penonton di Malaysia dapat merasai sendiri kehangatan persembahan itu tanpa perlu ke luar negara.

"Pementasan itu nanti dijamin akan memberikan kepuasan kepada penonton kerana Jersey Boys adalah sebuah produksi yang hebat malah telah dipentaskan di 33 buah negara sebelum ini di hadapan 18 juta penonton.

"Ia pasti mengimbau kenangan penonton dengan irama 60-an dan Rock and Roll menerusi pelbagai lagu daripada Frankie Valli dan The Four Seasons," katanya.

Tiket untuk menyaksikan persembahan hebat itu dijual pada harga serendah RM200 hingga RM680 dan tempahan tiket boleh dibuat menerusi laman web www.ticketcharge.com.my.

Artikel Sebelum

Artikel Lain