suria

Tangan Kiri Adira Cedera Akibat Jatuh Tangga

Adira mengalami kecederaan pada tangan kirinya gara-gara jatuh tangga di sebuah kilang di Klang.

PETALING JAYA: Penyanyi Adira mengalami cedera di tangan kirinya selepas jatuh tangga di sebuah kilang di Pulau Indah, Klang, dekat sini pada Isnin lalu.

Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 24, berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang rancak berbual dengan rakan-rakannya sehingga tidak sedar dia tersalah langkah ketika menaiki tangga.

"Di kilang tersebut, kakak saya ada buka sebuah kantin, dan ketika itu saya mahu melawatnya di sana.

"Terlebih seronok agaknya. Ketika sedang menaiki tangga, saya tersilap langkah lalu terjatuh dan kemudian terus ke sebuah klinik di sekitar Kluang untuk mendapatkan rawatan," katanya yang dihubungi mStar Online pada petang Isnin.

a
Adira (tengah) menunjukkan kecederaan tangannya di laman Instagram miliknya.

Bagaimanapun tambah Adira, doktor telah mengesahkan tiada kecederaan serius berlaku kepadanya.

Malah dia juga masih lagi menjalani aktiviti hariannya seperti biasa selain menyempurnakan undangan persembahan di beberapa tempat.

"Cedera ini bukan bermakna saya dapat berehat kerana kerja masih lagi perlu diteruskan.

"Lagipun hanya tangan yang cedera bukannya suara dan masih lagi boleh menyanyi macam biasa. Cuma penampilan saya dengan tangan berbalut saja membuatkan ia kelihatan tidak berapa menarik," selorohnya.


Artikel Lain