PETALING JAYA: Pengarah filem Mamat Khalid telah membatalkan semua promosi terhadap filem Zombi Kilang Biskut yang telah ditayangkan di pawagam bermula pada 20 Mac lalu bagi menghormati insiden pesawat Malaysia Airlines MH370. Mamat berkata, sehingga kini promosi yang dirancang membabitkan beberapa pelakon popular sepanjang filem itu ditayangkan turut dibatalkan. "Seperti yang kita tahu negara sedang bersedih dan kalau diikutkan hati, saya tidak mahu filem ini ditayangkan pun, namun begitu ia sudah ditetapkan oleh pihak wajib tayang. "Saya telah membatalkan semua promosi yang telah dirancang sepanjang filem itu ditayangkan termasuk promosi besar-besaran menyerang panggung bersama semua pelakon Zombi Kilang Biskut," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Selasa. Dalam pada itu, ditanya tentang kutipan selepas beberapa hari filem tersebut ditayangkan, Mamat berkata, dia hanya pasrah dengan hasil kutipan yang bakal diperoleh. "Kita sudah tidak mengharapkan seperti sasaran awal kerana perkara sebegini sukar dijangkakan, namun Alhamdulillah setakat tiga hari tayangan ia berjaya mendapat 530, 000. "Berapa pun kutipannya, saya hanya berserah sahaja, namun dengan angka itu dalam masa tiga hari, ia sudah dikira baik," katanya. Tambah Mamat, dia tidak berasa kesal atau sedih dengan kutipan yang terjejas akibat kejadian tersebut, malah turut bersimpati terhadap keluarga serta nasib penumpang dan anak kapal yang terlibat dengan kejadian berkenaan. Sementara itu, Mamat berharap tayangan filem ini akan dilanjutkan bagi memberi peluang kepada penonton memandangkan seluruh rakyat Malaysia kini sedang bersedih dengan insiden tersebut.