PETALING JAYA: Pelakon Nad Zainal menolak beberapa tawaran untuk dia menjadi pengacara kerana menganggap dia tidak sesuai untuk terjun dalam bidang itu walaupun pernah mengacarakan Anugerah Skrin 2013 sebelum ini. Nad atau nama sebenar Farah Nadia Zainal Abidin, 24, berkata dia juga tidak gemar untuk menonton diri sendiri mengacarakan sesebuah program. "Selepas mengambil peluang mengacarakan Anugerah Skrin 2013 dan program hiburan Meletop, memang banyak tawaran pengacaraan datang tetapi terpaksa saya tolak. "Secara jujurnya saya tidak berminat dengan bidang ini dan ketika melihat semula rakaman program tersebut, saya merasakan saya tidak sesuai untuk jadi pengacara. Ia bukan kekuatan saya, jadi biarlah saya tumpukan perhatian kepada bidang lakonan sahaja," katanya kepada mStar Online. Tambah Nad, selain program hiburan, dia turut ditawarkan untuk mengendalikan sebuah program dekorasi. Dalam pada itu, mengulas tentang perancangan rumah tangga, Nad berkata, dia sememangnya mempunyai hasrat untuk berkahwin dengan kekasihnya iaitu pelakon Azwan Kombos, namun bukan dalam masa terdekat. "Saya memang ada perancangan untuk berumah tangga, namun bukan dalam tahun ini, kami pergi kursus kahwin kerana waktu itu kedua-duanya ada masa lapang. "Lagi pula ramai yang beritahu selepas ini proses dalam kurus kahwin akan menjadi lebih susah. Jadi kami sengaja pergi awal-awal supaya tidak timbul masalah kemudian hari," katanya. Dalam perkembangan lain, Nad bakal bergandingan dengan pelakon Izzue Islam dalam telefilem berjudul Tatu. Katanya, telefilem yang membawakan mesej berat itu merupakan kisah benar yang diambil daripada pengalaman seorang kru produksi. "Telefilem ini mengisahkan cerita benar seorang kru produksi yang mempunyai tatu. "Dia berusaha untuk membuang tatu yang dibuatnya namun gagal sehingga dia dibuang keluarga. Akhirnya dia meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya," katanya.