suria

Min Yasmin Harungi Kontroversi Sebelum Kahwin Julfekar

Min Yasmin dan Julfekar mengharungi pelbagai kontroversi sebelum kedua-dua mereka disatukan sebagai suami-isteri.

PETALING JAYA: Penyanyi Min Yasmin  berasa lega akhirnya hubungan cintanya selama empat tahun dengan komposer Julfekar, 49, diakhiri dengan ikatan yang sah sebagai pasangan suami isteri.

Min atau nama sebenarnya Nurul Yasmin Abdul Aziz, 25, berkata, terlalu banyak dugaan dan rintangan yang terpaksa dilalui untuk mempertahankan hubungan tersebut sebelum kedua-duanya diijabkabulkan.

"Alhamdulillah, saya rasa terlalu lega dan bersyukur akhirnya kami disatukan sebagai suami isteri. Terlalu banyak dugaan sepanjang perhubungan selama empat tahun ini.

"Saya tidak ambil kira kontroversi atau pandangan buruk masyarakat terhadap dia atau kepada hubungan kami," katanya kepada mStar Online selepas selesai majlis pernikahan mereka yang berlangsung di Masjid Kota Damansara, di sini, Jumaat.

mStar Default Image
Min Yasmin

Pada majlis itu Julfekar atau nama sebenarnya Julfekar Ahmad Shah, menyerahkan mas kahwin sebanyak RM1,000, manakala wang hantaran dirahsiakan.

Majlis resepsi akan diadakan pada 13 April ini di Dewan N'Dah Mahligai, Shah Alam dekat sini.

Dalam pada itu tambah Min, kontroversi paling teruk dihadapinya apabila mereka dikatakan sudah berkahwin secara sembunyi beberapa tahun lalu.

Ketika ditanya tentang perbezaan umur hampir 25 tahun di antara meraka Min berkata dia tidak pernah menganggap perkara itu sebagai satu masalah.

"Saya tidak kisah umur dia berapa, asalkan dia bukan suami orang.  Walaupun jarak umur kami agak jauh tetapi dia pandai untuk mengambil hati dan membaca fikiran saya," katanya.

Sementara itu, Julfekar berkata, keistimewaan wanita tersebut adalah daripada cara dia membawa diri selain kematangan yang jauh daripada usia sebenarnya.

Malah ujar Julfekar,  Min merupakan seorang yang mampu membuka hatinya untuk kembali semula berumah tangga.

"Dia berfikiran terbuka dan matang, kalau saya minta dia buat sesuatu dia pasti akan lakukan dengan baik, malah lebih cekap daripada saya.

"Dia juga pandai membawa diri ke mana sahaja dan tidak terlalu cerewet, cuma ada juga kadang-kadang dia cepat panas baran kerana darah muda," ujarnya.

mStar Default Image

Saat bahagia ketika diijabkabulkan.

Pasangan ini masih belum menetapkan lokasi berbulan madu, namun merancang untuk bercuti di sebuah pulau.

Sementara itu, ditanya tentang kerjaya Min selepas berkahwin, jawabnya, dia lebih sibuk dengan pelancaran album terbaharu yang tertangguh akibat insiden MH370.

"Kebiasaannya orang berkahwin selepas berada di hujung kerjaya, namun kerjaya nyanyian saya baru sahaja bermula.

"Insya-Allah dalam masa terdekat saya akan keluar dengan album terbaharu yang  sepatutnya dilancarkan pada bulan lepas namun terpaksa dibatalkan kerana menghormati insiden MH370," ujarnya. 

Artikel Lain