KUALA LUMPUR: Penyanyi Liyana Jasmay mengamalkan senaman yoga sebagai persediaan sebelum bersalin yang dijangka pada minggu pertama bulan Mei ini. Liyana, 26, berkata, senaman itu telah disarankan oleh doktor bagi memudahkannya melalui proses kelahiran. "Saya telah diminta untuk bersenam yoga agar memudahkan ketika proses kelahiran. "Malah saya turut mengamalkan petua memakan buah kurma serta minum air zam-zam. Risau juga macam mana keadaan saya nanti. Tetapi saya hanya mampu berdoa yang terbaik agar semuanya berjalan dengan lancar, Insya-Allah," katanya. Liyana tetap kelihatan anggun walaupun sarat mengandung anak sulungnya. - foto AZLINA ABDULLAH/The Star Liyana ditemui pada majlis doa selamat sempena menantikan kelahiran anak sulung di kediaman keluarganya di Kemensah Height di sini. Turut diraikan, kakaknya, Adriana Jasmay yang juga bakal melahirkan anak ketiga. Tambah Liyana, dia mengakui cukup teruja menantikan kelahiran anak sulungnya itu termasuklah suaminya, Fathuddin Mazlan, 30. "Kalau nak tahu, saya sudah membuat pelbagai persiapan menantikan anak sulung saya ini dengan menyediakan sebuah bilik untuknya. "Dan rasanya saya dah banyak beli baju anak, risau pula jika ia tidak sempat nak dipakai. Maklumlah, bayi kan cepat membesar. "Apa-apa pun, saya akan menjaga dia seperti seorang puteri. Sama macam ibu saya menjaga saya ketika kecil," ujarnya. Pada majlis doa selamat itu, kira-kira 200 tetamu telah hadir termasuklah rakan artis iaitu Datin Ummi Aida, Scha Al-Yahya dan Awal Ashaari.