PETALING JAYA: Pelakon Dazrin Kamarudin enggan memanjangkan 'perang dingin' yang berlaku diantaranya dengan Fasha Sandha apabila aktres itu bertindak membidas tunangnya, Amyza Rosli yang dilaporkan datang lewat ke lokasi penggambaran drama Baju Raya Yaya baru-baru ini. Dazrin, 26, berkata, biarpun berasa pelik dengan tindakan pelakon itu namun dia enggan memberi ruang kepada kontroversi terus menyelubungi karier mereka kerana yakin kebenaran akan berpihak kepadanya suatu hari nanti. "Apa sahaja isu di antara saya dan Fasha sebelum ini telah pun selesai dan tiada isu berbangkit mengenai perkara itu malah saya sudah memohon maaf atas kejadian tersebut. "Biarlah apa pun yang hendak dia kata kerana itu haknya dan pada akhirnya orang akan tahu juga kebenarannya," katanya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Dazrin berkata, mengakui tunangnya yang juga aktres Amyra Rosli berada dalam keadaan tertekan selepas dihimpit kontroversi gara-gara datang lewat ke lokasi penggambaran drama berjudul Baju Raya Yaya baru-baru ini. Dazrin sentiasa memberi semangat kepada tunangnya untuk terus tabah menghadapi dugaan dalam bidang seni. Dazrin bagaimanapun berkata, sebagai individu paling dekat dengan Amyra dia sentiasa memberikan semangat kepada wanita berkenaan supaya tidak berputus asa hanya kerana isu tersebut. "Memang dia tertekan selepas apa yang terjadi namun saya dan keluarganya sentiasa memberikannya dorongan supaya dia tidak patah semangat untuk meneruskan kerjaya sebagai pelakon. "Saya sering memberitahunya kontroversi tersebut hanyalah salah faham kecil yang diperbesar-besarkan dan perlu mengambil pengajaran daripadanya," katanya. Tambah Dazrin, dia tidak mahu melihat kerjaya Amyra terkubur kerana bakat yang dimiliki wanita berkenaan mempunyai potensi untuk berjaya pada masa hadapan. Sementara itu, bercakap mengenai filem pertama lakonannya Apokalips X arahan Mamat Khalid, Dazrin berkata, dia sedia menerima kritikan daripada penonton memandangkan ia adalah karya pertamanya ketika mula-mula menceburkan diri dalam bidang lakonan. Fasha seorang pelakon yang begitu mementingkan disiplin ketika berada di set penggambaran. Bagaimanapun kata Dazrin, pengalaman bekerja dibawah Mamat sangat berharga dan dia beruntung mendapat didikan daripada pengarah berpengalaman itu. "Biarpun pada mulanya saya hanya watak sampingan sahaja dalam Apokalips X namun Mamat percaya dengan kredibiliti saya dan memberi kepercayaan untuk memegang antara peranan utama dalam filem itu. "Saya bertuah dapat berlakon dibawah arahannya malah saya akan muncul dalam beberapa lagi projek bersamanya selepas ini," jelasnya.