suria

Emma Maembong Tak Gaduh Dengan Syarikat Pengurusan

Emma Maembong kaji produk terlebih dahulu sebelum bersedia menjadi duta.

PETALING JAYA: Pelakon Emma Maembong menafikan dia mempunyai masalah dalaman dengan syarikat pengurusannya iaitu Wirefame dan berhasrat untuk keluar daripada syarikat itu.

Emma atau nama sebenar Fatimah Rohani Ismail, 22, berkata, dia masih lagi bersama syarikat pengurusan milik kekasihnya itu, Zizan Razak.

"Saya pun pelik bila saya cakap nak keluar dari syarikat itu?

"Mungkin kontrak saya sudah hampir tamat, maka mulalah timbul macam-macam spekulasi yang tidak betul," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun, kata Emma, dia masih memikirkan sama ada untuk menyambung kontrak tersebut atau bergerak secara sendiri.

Malah pengurus syarikat tersebut iaitu Marina Juki turut memberi galakkan jika dia mahu belajar menguruskan kerjayanya secara sendirian.

"Saya pernah menyuarakan hasrat ini dan Marina juga ada bertanya saya jika saya benar-benar mahu uruskan kerjaya saya sendiri.

"Tapi bila fikir balik, saya tidak mampu untuk berbuat demikian kerana saya sibuk dengan penggambaran dan tiada masa untuk buat jadual sendiri," katanya.

Dalam perkembangan lain, Emma sedang berehat buat sementara waktu bagi meluangkan masa bersama rakan-rakan dan keluarga.

Dia juga baharu sahaja selesai menjalani penggambaran drama bersiri Projek Memikat Suami, Yess Bos dan Syurga Tanpa Cinta.

Sementara itu, Emma  yang turut dilantik menjadi jurucakap kepada makanan tambahan Maixara berkata, pengambilan makanan tersebut membantunya memberi tenaga tambahan selepas penat bekerja.

"Saya cuba dahulu produk ini dan bila ia benar-benar berkesan dan yakin, barulah saya setuju untuk jadi jurucakap.

"Alhamdulillah setakat ini produk itu dapat memberi tenaga kepada saya. Selain itu jerawat juga sukar untuk tumbuh," katanya.

Selain Maixara, dia turut menjadi duta kepada produk kosmetik Silky Girl dan Ali Cafe.

 

Maixara, Emma Maembong, Wirefame

Artikel Berikut

Artikel Lain