PETALING JAYA: Stesen televisyen Astro bekerjasama dengan pengeluar rancangan televisyen berbahasa Sepanyol iaitu Azteca dan syarikat produksi Global Station Sdn Bhd dalam menerbitkan rancangan telenovela yang diadaptasi bersesuaian mengikut penonton Malaysia. Naib Presiden Kumpulan Kandungan Astro, Agnes Rozario, berkata, kerjasama ini akan menguatkan lagi pengisian program menarik yang menjadi sajian kepada pelanggan-pelanggan Astro. "Kepakaran pemasaran dan konsumer yang kami miliki serta kemahiran produksi pihak Global dan kekuatan kandungan Azteca, kami percaya adaptasi telenovela ini akan memenuhi permintaan penonton pelbagai budaya di negara ini. "Saya yakin ia bakal menarik ramai penonton tetap yang mengikuti rancangan ini setiap kali disiarkan," katanya. Dalam pada itu, katanya, kerjasama ini merupakan kali kedua selepas Akademi Fantasia sejak ia dilancarkan sepuluh musim lalu. Manakala Astro juga melalui saluran Astro Bella turut menyiarkan rancangan telenovela yang ke udara mengikut pekej Astro. Sementara itu, pihak Global Station juga telah membuktikan kepakaran mereka dalam mengadaptasi beberapa siri telenovela yang berjaya menarik perhatian penonton negara ini sebagai salah satu rancangan baharu.