PETALING JAYA: Penyanyi Krisdayanti memberitahu suaminya Raul Lemos meletakkan beberapa syarat sekiranya dia mahu kembali aktif dalam bidang nyanyian selepas empat tahun berehat. Kris, 39, berkata, antara syarat-syaratnya dia tidak boleh terlalu sibuk dengan aktiviti nyanyian setiap hari sebaliknya memadai urusan berkaitan seni dihabiskan dalam seminggu sekali. "Empat tahun berehat di bidang nyanyian pastinya membuatkan saya berasa rindu untuk aktif semula dan Raul tahu dengan minat saya itu. "Lalu dia meletakkan beberapa syarat jika saya mahu kembali menyanyi dan antara yang sangat diutamakan adalah masa. Saya tidak boleh terlalu sibuk dengan kerja. "Dia akan cemburu dengan masa kerja saya nanti di mana sepatutnya masa itu perlu dihabiskan bersama suami dan anak-anak," katanya. Kris ditemui pada majlis pelancaran album terbaharunya berjudul Persembahan Ratu Cinta di pejabat Warner Music Malaysia di Menara TSR, Mutiara Damansara, di sini pada petang Selasa. Krisdayanti Tambah Kris, Raul kini lebih faham cara kerjanya sebagai penyanyi memandangkan sebelum ini suaminya itu sering bertanya mengenai cara seseorang penyanyi itu menjalankan tugas mereka. Malah Raul kini turut bersemangat dalam berkongsi pendapat mengenai penampilannya setiap kali muncul di khalayak. Sementara itu, mengenai albumnya selepas empat tahun berehat, Kris muncul dengan dua buah lagu baharu iaitu Ratu Cinta serta Bertubi-Tubi serta 14 buah kompilasi lagu popular dalam album berkenaan Walaupun membuat kemunculan semula dengan persediaan yang sangat rapi, jauh di sudut hati penyanyi itu merasakan bahawa dia mungkin sudah dilupakan oleh sebahagian peminat-peminatnya. "Seperti yang semua orang tahu, kehidupan ini bagaikan roda. Ada masa kita di atas dan ada masa kita di bawah. "Memang saya tahu apabila berehat, banyak perkara yang akan saya tertinggal. Tetapi saya tidak pernah berasa kecil hati dengan apa yang berlaku. "Walaupun saya tahu mungkin saya kehilangan peminat, ia tidak mengapa, kerana saya percaya masih ada lagi peminat yang menyokong saya," ujarnya.