suria

Isu Hadis Palsu, Ustaz Don Kesal Jadi Mangsa Fitnah

Don Daniyal tampil memberikan penjelasan mengenai penyebaran video bertajuk 'Kompilasi hadis palsu dan pendustaan Don Daniyal'.

PETALING JAYA: Pengacara program 30 Minit Bersama Ustaz Don iaitu Don Daniyal meminta pihak yang menuduhnya menyampaikan ceramah menggunakan hadis-hadis palsu agar menyelidik terlebih dahulu dakwaan berkenaan sebelum membuatkan sebarang tuduhan.

Don atau nama sebenarnya Don Daniyal Don Biyajid, 30, berkata, adalah tidak adil dia dinilai berdasarkan kepada sebuah video yang telah diedit daripada ceramah terdahulunya bagi digunakan untuk menfitnahnya.

"Saya sendiri tidak tahu apakah niat sebenar mereka memuat naik video yang jelas telah diedit dan kemudiannya digunakan untuk menghentam saya tanpa sebarang usul periksa.

"Saya tidak kata saya betul dalam semua perkara dan jika ada saya membuat salah, maafkan saya kerana manusia itu tidak sempurna tetapi tuduhan yang dibuat adalah tidak adil buat saya," katanya menerusi kenyataan video sepanjang 18 minit yang dimuat naik penceramah agama itu pada Khamis.

Ustaz selebriti itu dikatakan menyampaikan ceramah dengan mengemukakan hadis-hadis palsu dan tidak sahih sehingga menimbulkan kekeliruan dan perdebatan banyak pihak.

Malah pelakon dan pengacara Wardina Safiyyah melalui laman sosial Facebook miliknya turut meminta mufti dan para ulama menilai ceramah yang disampaikan oleh ustaz tersebut untuk kepentingan semua umat Islam.

Koleksi rakaman video ceramah berkenaan tersebar di Facebook dengan tajuk: Kompilasi hadis palsu dan pendustaan Don Daniyal.

Dalam pada itu, Don berkata, dia hairan bagaimana beberapa pihak yang mendakwa diri mereka golongan berilmu mudah terpengaruh dengan video yang disifatkan 'sekerat-sekerat' tanpa meniliti kesahihan kandungannya terlebih dahulu.

Wardina Safiyyah melalui laman sosial Facebook miliknya turut meminta mufti dan para ulama menilai ceramah yang disampaikan oleh ustaz tersebut untuk kepentingan semua umat Islam.

Kata Don, pihak yang mempersoalkan ceramahnya itu sepatutnya menyelidik terlebih dahulu siapakah individu yang menghasilkan video berkenaan sebelum mempertikaikan kredibilitinya sebagai penceramah agama.


"Sebelum ini banyak pihak memberitahu jangan mudah terpedaya dan percaya dengan video yang dimuat naik di laman sosial seperti Facebook atau Twitter tetapi dengan satu video 'sekerat-sekerat' ini mereka terus jadikannya hujah terhadap saya.


"Malah kita sedar orang yang membuat video tersebut bertujuan untuk mewujudkan propaganda dan (saya) pelik bagiamana mereka mudah terpedaya tanpa selidik terlebih dahulu," jelasnya.

Tambah Don, video sedemikian mampu merosakkan silaturahim sesama manusia dan berharap agar masyarakat lebih berhati-hati dengan golongan seperti itu.


Don berkata, dia juga tidak mengetahui motif video berkenaan dihasilkan malah tidak mengenali individu yang menyebarkan video tersebut.

"Saya sarankan daripada menggunakan 'ustaz' Facebook, Twitter dan Wikipedia lebih baik berjumpa dengan ustaz atau alim ulama atau pun hadir ke ceramah yang diadakan bagi mengetahui isi kandungan sebenar yang ingin disampaikan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Don berkata, dia tidak akan lagi menjawab sebarang pertanyaan mengenai isu berkenaan kerana bimbang ia akan mengundang pelbagai pandangan negatif.


Selain mengadakan ceramah-ceramah peribadi, Ustaz Don juga mengendalikan rancangan agama berjudul 30 Minit Bersama Ustaz Don siaran TV AlHijrah pada setiap Isnin Hingga Khamis, pukul 9.30 malam.

Pihak stesen televisyen TV AlHijrah dalam kenyataannya kepada mStar Online pada Rabu memberitahu akan meneliti kandungan rakaman video Ustaz Don terlebih dahulu sebelum memikirkan tindakan lanjut.

Penceramah itu ketika ini berada di United Kingdom bagi menjayakan rakaman sebuah rancangan berkonsepkan keislaman.



Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain