suria

Hans Isaac Buat Keputusan Kahwin Hujung Tahun

Hans Isaac tidak mahu lagi fikir terlalu banyak tentang kerja, publisiti dan populariti.
PETALING JAYA: Pelakon Hans Isaac telah membuat keputusan untuk menamatkan zaman bujangnya dan bakal mengumumkan berita baik itu hujang tahun ini. Hans atau nama sebenarnya Gerald Hans Isaac, 42,  mengakui dia kini sedang menjalani kehidupan bahagia dan sudah bersedia untuk mempunyai isteri.

Saya tidak mahu dedahkan kehidupan peribadi saya kepada umum terutama sekali berkenaan cinta atau kekasih, tetapi saya akui kini sedang menjalani kehidupan yang bahagia. 

"Kalau diikutkan kesediaan untuk berumah tangga, saya sudah lama bersedia dan mungkin akan buat keputusan untuk berkahwin selewat-lewatnya Disember ini,” ujarnya kepada mStar Online ketika ditanya tentang status hubungannya dengan aktres Neelofa.

Tambah Hans, buat masa ini dia lebih banyak menumpukan perhatian kepada kehidupan peribadi berbanding kerjaya.

Dia juga mahu menjalani kehidupan peribadi yang lebih normal dan seimbang berbanding dahulu.

“Tiada lagi istilah kerja kuat, saya hanya kerja selama tiga jam sehari sahaja dan selebihnya saya lakukan aktiviti yang tidak dapat saya lakukan dahulu.

“Saya tidak mahu fikir fasal jualan filem, promosi atau cari publisiti untuk mengejar populariti, zaman itu semua sudah berlalu,” katanya.

Sementara itu, bercerita soal kerjaya, Hans memberitahu tetap dengan pendiriannya untuk tidak menghasilkan serta mengarah filem Melayu.

Bagaimanapun, dia akui ingin mencuba beralih arah untuk menerbitkan filem berbahasa Inggeris serta bercadang menembusi pasaran Singapura.

"Filem ini menggunakan bahasa Inggeris seratus peratus. Ia bukan untuk industri Malaysia, sebaliknya lebih fokus untuk industri antarabangsa.

“Kini saya masih dalam proses untuk mencari pelakon yang fasih berbahasa Inggeris tetapi dengan cara Malaysia,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hans berkata, dia bakal  mementaskan Teater Muzikal Supermokh pada 8 hingga 21 September depan di Istana Budaya

Hans Isaac

Artikel Berikut

Artikel Lain