suria

Hanli & Alan Serasi Kendalikan 'The MTV Show'

Keserasian Alan dan Hanli mengendalikan The MTV Show hadir secara semulajadi. Foto kredit MTV Asia.

PETALING JAYA: Pengacara (VJ) program The MTV Show iaitu Hanli Hoefer dan Alan memberitahu mereka teruja dapat kembali bekerjasama dalam rancangan tersebut untuk musim terbaharu.

Jelas mereka kepada mStar Online ketika ditemui baru-baru ini, keserasian dan hubungan akrab sebagai kawan yang terjalin sebelum ini memudahkan mereka berkomunikasi mengendalikan program tersebut.

"Kami berdua berasa beruntung dapat kembali bersama-sama mengendalikan program ini. Keserasian memudahkan proses penggambaran The MTV Show.

"Ia bukan sesuatu yang dibuat-buat apabila kami bergandingan bersama tetapi keserasian itu terjadi secara semulajadi," kata Alan.

The MTV Show musim ketiga itu disiarkan pada setiap hari Sabtu pada pukul 12 tengah malam (waktu Malaysia) menerusi saluran MTV (Astro 713).

Program hiburan itu memaparkan mengenai muzik terkini dan gaya hidup selain perkembangan dan info terkini mengenai muzik video terbaharu, filem, berita selebriti antarabangsa dan temuramah eksklusif.

Musim terbaharu itu juga membawa kelainan apabila turut memperlihatkan Hanli dan Alan lebih banyak menggunakan medium media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram bagi mendekati para penonton program itu.

Dalam pada itu, Hanli berkata, biarpun The MTV Show sudah memasuki musim ketiga namun dia sangat bertuah dapat bergandingan dengan Alan yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengacaraan sebelum ini.

Alan dan Hanli sentiasa memberikan sokongan diantara satu sama lain dalam kerjaya mereka. 

Jelas Hanli, Alan disifatkan sebagai seorang yang tidak kedekut ilmu malah banyak membimbingnya dalam menjadi seorang pengacara yang lebih versatil.


"Masa saya mula-mula menjadi VJ di MTV pengalaman saya sangat kurang dan ada rasa rendah diri apabila digandingkan dengan Alan.

"Namun sifat ramah dan tidak lokek ilmu membuatkan saya selesa malah kami menjadi sahabat baik dan berkongsi pelbagai perkara terutama berkaitan muzik," ujarnya.

Sementara itu, Alan yang berasal dari Amerika Syarikat berkata, dia bertuah dapat menggembara ke seluruh dunia bagi mengutip pengalaman sebagai seorang VJ dan menyukai negara Asia yang disifakan sebagai peramah dan suka membantu orang lain.

"Kini saya tinggal di Singapura dan biarpun berjauhan dengan keluarga namun saya tidak berasa terasing kerana masyarakat di sini baik-baik belaka.

"Hanli juga teman yang baik dan sering membawa saya berjalan-jalan bagi mengenali budaya dan masyarakat di sini," jelasnya.

Hanli Hoefer, Alan, The MTV Show, MTV.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain