suria

Gementar Di Pentas Buat Maya Karin Tertekan Jadi Penyanyi

Maya mengakui pernah berasa tertekan untuk bergelar penyanyi kerana gagal mengawal perasaan gementar ketika berada di atas pentas. Foto SHAARI CHE MAT.

PETALING JAYA: Penyanyi Maya Karin  pernah tertekan dan berasa putus asa untuk berada dalam bidang nyanyian berikutan gagal mengawal perasaan gementar apabila berada di atas pentas.

Maya atau nama sebenarnya, Maya Karin Roelcke, 35, berkata, dia melalui tekanan itu pada awal kemunculannya dalam industri yang mana orang ramai terlalu meletakkan jangkaan yang tinggi untuk dia menyanyi dengan baik.

"Ketika saya baru sahaja masuk dalam industri memang saya agak terkejut dengan populariti dan menyebabkan saya tertekan dengan keadaan itu.

"Saya bukan dilahirkan dan dibesarkan di sini, kurang fasih dengan bahasa Melayu dan masih belajar mendalami budaya masyarakat Malaysia.

"Jadi ramai yang sudah meletakan jangkaan yang tinggi pada saya untuk menyanyi dengan baik di pentas, saya rasa sangat takut sehingga tidak mahu menyanyi lagi," katanya yang dibesarkan di Indonesia.

Maya ditemui pada majlis pelancaran album terbaharunya berjudul Teka-Teki di No Black Tie, di sini, malam Jumaat lalu.

Maya mendendangkan beberapa buah lagu  pada majlis pelancaran album terbaharunya.

Bagaimanapun, Maya berkata, dia akhirnya berjaya mengatasi perasaan itu sedikit demi sedikit selepas sering kali melakukan persembahan pentas.

Dalam pada itu, Maya berkata, buat masa ini dia akan berehat sementara waktu daripada bidang lakonan untuk menumpukan perhatian kepada promosi album baharunya. 


"Saya akan tumpukan perhatian kepada nyanyian dan turun promosi di beberapa lokasi di seluruh Malaysia. Ini juga album ketiga saya selepas hampir enam tahun senyap dalam bidang nyanyian," katanya.

Dalam majlis tersebut, Maya turut menyampaikan empat buah lagu termasuk sebuah lagu berbahasa Inggeris nyanyian asal Adele berjudul Skyfall.

Album Teka-Teki memuatkan tujuh buah lagu iaitu Bintang Syurga, Logika, Tersenyum, Teka-Teki, Titi Rahsia, Selamat Tinggal Cinta dan
Hanya Sebentar.

Album ini sudah berada di pasaran sejak Februari lalu. 
Maya Karin, Warner Music.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain