KUALA LUMPUR: Lagu Hanya Aku nyanyian kumpulan Hyper Act menerima anugerah '10 Lagu Berbahasa Malaysia Paling Popular Red Box 2013' kerana ia menjadi lagu karaoke popular pilihan pengunjung di pusat karaoke berkenaan. Vokalis kumpulan berkenaan, Ronnie tampil menerima trofi yang disampaikan oleh Pengarah Urusan Red Box, Valerie Choo. "Trofi ini saya anggap luar biasa kerana pertama kali dinobatkan dengan anugerah sebegini dan saya cukup terharu apabila lagu tersebut menjadi kegemaran masyarakat di Malaysia," kata Ronnie. Antara lagu lain yang turut diberi penghargaan kerana sering dipilih oleh pengunjung pusat hiburan itu adalah Putih-Putih Melati (ST12), Sahabat (Najwa Latif),Bahagiamu Deritaku (Hafiz), Penglipur Lara (Hazama), Kalau Aku Kaya (Altimet & Awi Rafael). Pengarah Urusan Red Box, Valerie Choo (empat dari kiri) bergambar dengan wakil syarikat rakaman yang hadir bagi menerima trofi Anugerah Lagu Karaoke Popular 2013 Red Box yang diadakan bersempena Malam Media Red Box di Sogo. Turut menerima anugerah itu adalah Setengah Mati Merindu (Judika), Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang (Tegar), Sandiwara Cinta (Repvblik) dan Sayang (Shae). Pada malam tersebut, hampir 300 wakil media dan pegawai perhubungan awam syarikat rakaman diraikan dengan pelbagai aktiviti seperti karaoke, permainan berkumpulan dan cabutan bertuah. Red Box turut menyampaikan 10 anugerah bagi kategori lagu berbahasa Inggeris yang mendapat sambutan iaitu Skyfall (Adele), When I Was Your Man (Bruno Mars),Get Lucky (Daft Punk), Thrift Shop (Macklemore & Ryan Lewis), Wake Me Up (Avicci). Turut tersenarai Royals (Lorde), Roar (Katy Perry), Wrecking Ball (Miley Cyrus) dan Girl On Fire (Alicia Keys). Antara aktiviti lain pada malam itu termasuk aktiviti karaoke bersama media, permainan dan cabutan bertuah pelbagai hadiah menarik.