suria

Pelakon Sidek Hussain Meninggal Dunia

Sidek Hussain

PETALING JAYA: Setelah sekian lama menderita akibat ketumbuhan sehingga menjadi kanser pada pipinya, pelakon Sidek Hussain, 63, akhirnya meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini kira-kira pukul 11.55 malam Ahad.

Sidek dimasukkan ke HKL pada 22 April lalu apabila keadaan kansernya semakin serius pada tahap empat sehingga komplikasi penyakit itu merebak ke seluruh badan.

Rakan baik Allahyarham, Abu Bakar Omar ketika dihubungi mStar Online memberitahu, dia sudah dimaklumkan tentang keadaan kesihatan Allahyarham semakin kritikal sejak beberapa hari lalu.

"Dia sepatutnya perlu buat rawatan kimoterapi selepas disahkan mengidap kanser tetapi kerana kesihatannya semakin kritikal, doktor tidak membenarkan rawatan itu dilakukan.

"Tekanan darah dia sangat rendah dan lemah sehingga dia tidak boleh lakukan sebarang rawatan, jadi doktor bagi ubat supaya dia tidur dan rehat," katanya.

Bagaimanapun, Abu Bakar berkata, dia sempat membacakan surah Yasin dan mengajar arwah untuk mengucap buat kali terakhir.

"Saya dapat menziarahi dia pukul 12 tengah hari semalam (Ahad) selepas diberitahu tentang keadaannya semakin nazak dan sempat membacakan surah Yasin untuknya.

"Ketika itu beberapa rakan terdekat dan ahli keluarga sudah dipanggil untuk menziarahinya dan malam tadi anak dia ada hubungi saya memaklumkan tentang berita ini.

"Walaupun dia tidak mampu bercakap tetapi dia mampu mengikut saya ketika saya ajar dia untuk mengucap," ujarnya.

Jenazah dimandikan di Masjid Kuang dan dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Kuang, Batu 17, Selangor kira-kira pukul 12 tengah hari, Isnin.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Sebiah Sulaiman, 61, dan lima orang anak iaitu dua lelaki dan tiga perempuan berusia antara 35 dan 23 tahun.

Kesemua anak Allahyarham berjaya dalam pelajaran dan bekerja sebagai pegawai bank, guru manakala anak bongsunya pula adalah doktor pelatih.

Sidek yang banyak berlakon dalam drama-drama televisyen tempatan sebelum ini pernah menerima rawatan pakar di Hospital Sungai Buloh dekat sini tetapi pihak doktor tidak dapat melakukan pembedahan kerana ia berisiko  tinggi.

Selain kanser berkenaan, beliau turut mengalami masalah jantung dan paru-paru.


Sidek Hussain

Artikel Lain