PETALING JAYA: Penyanyi Aizat Amdan mendedahkan dia pernah menolak hasrat beberapa orang artis tersohor tanah air seperti Datuk Sheila Majid, Zainal Abidin dan Datuk Siti Nurhaliza yang ingin mendapatkan karyanya. Aizat, 25, berkata, dia masih belum yakin mencipta lagu untuk dinyanyikan oleh artis popular dan jauh berpengalaman serta mereka yang dianggapnya sebagai idolan dalam bidang seni suara. "Bukan saya tidak mahu buat (lagu) tetapi saya takut dan belum yakin terutama untuk orang lain dan orang tersebut pula adalah dola-idola saya. "Untuk artis seangkatan pun saya belum pernah berikan lagu, inikan pula mereka yang sudah ada kelas tersendiri. "Saya akui masih belum layak untuk mencipta lagu untuk mereka," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Tonton Music, di First Avenue, di sini, Rabu lalu. Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Digital, Datuk Zainul Ariffin Mohammed Isa (tengah), Pengurus Besar Kumpulan TV9, Sherina Nordin (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Radio Media Prima, Seelan Paul ketika melancarkan Tonton Muzik. Bagaimanapun, kata Aizat keyakinannya kini semakin bertambah dan dia bersedia untuk memberikan lebih fokus terhadap penciptaan lagu. Ujarnya, ada beberapa lagu ciptaannya yang kurang bersesuaian dengan genre yang dibawa dan ia akan diberikan kepada beberapa artis baharu. "Saya ada banyak koleksi lagu tetapi sebelum ini saya tidak pernah berniat nak bagi pada orang, saya takut orang tak nak terima lagu saya." "Sekarang keyakinan saya semakin bertambah dan mahu beri fokus untuk buat lagu pula terutamanya kepada artis-artis baharu," jelasnya. Aizat Amdan Sementara itu, ditanya soal kekasih, Aizat mengakui sibuk dengan kerjaya dan belum mempunyai teman istimewa. Bagaimanapun dia akui terdetik untuk mendirikan rumah tangga selepas abangnya iaitu Anas berkahwin minggu lalu. "Saya rasa gembira dan sedih bila dia dah kahwin, sudah tentu terdetik dihati saya untuk berkeluarga tetapi jodoh belum sampai lagi. "Mereka berdua sudah kenal lama dan memang saya nampak sangat serasi dan ditakdirkan bersama. Saya sangat gembira untuk dia," katanya yang bakal muncul dengan single terbaharu tidak lama lagi.