KUALA LUMPUR: Kumpulan Indonesia, Wali mengakui lagu-lagu berbentuk kemasyarakatan yang diperjuangkan membezakan mereka daripada kumpulan muzik lain di negara jiran tersebut. Gitarisnya, Apoy berkata, kelainan muzik itu juga mampu membuatkan mereka terus bertahan dalam perkembangan industri muzik Indonesia. "Kami mempunyai pengikut tersendiri, biarpun ramai daripadanya daripada kalangan masyarakat luar bandar. "Muzik kami dekat di hari masyarakat dan ia juga antara sebab kenapa kami masih bertahan walaupun banyak kumpulan muzik baru muncul bagai cendawan tumbuh di sana," katanya kepada mStar Online. Wali ditemui pada Majlis Pelancaran Album Baharu berjudul Doain Ya Penonton yang diadakan di Hard Rock, di sini, pada Jumaat lalu. Sementara itu, Apoy berkata, album yang memuatkan 11 buah lagu itu masih mengekalkan konsep muzik dangdut koplo. Katanya, lirik beberapa buah lagu dihasilkan mengikut perbincangan dengan peminat-peminat mereka di Malaysia, Indonesia dan Singapura. "Kali ini kami guna perkataan-perkataan yang membawa maksud sama antara tiga negara Malaysia, Indonesia dan Singapura seperti nekad dan jamin. "Kami banyak berinteraksi dengan peminat-peminat di Malaysia tentang lirik dan maksudnya, mereka mahu tatabahasa agar mudah difahami di ketiga-tiga buah negara," katanya. Album ini memuatkan 11 buah lagu iaitu Indonesia Juara, Jamin Rasaku, Serpihan Hatiku, Junet, Ada Gajah Dibalik Batu, Doain Ya Penonton, Ditinggal Kawin, Obat Perkasa, Cinta Dihujung Nafas, Kalau Masih Bisa Memilih dan Kamu Masih Manusia. Album tersebut bakal berada di pasaran pada pertengahan Mei ini.