suria

Almy Nadia Enggan Kongsi Kisah Rumah Tangga

Almy memilih untuk tidak berkongsi kisah rumah tangga bagi menghormati permintaan ibu. gambar- Takara Sakana Photography.

PETALING JAYA: Pelakon Almy Nadia memutuskan untuk mengunci mulut daripada menceritakan segala hal rumah tangga yang dibina bersama pelakon Fizz Fairuz.

Almy atau nama sebenar Almy Nadia Aminuddin Shah, 28, berkata, keputusan itu dibuat bagi menghormati permintaan ibunya agar apa juga yang berlaku dalam rumah tangga tidak diceritakan kepada umum khususnya media.   

“Ibu memberi nasihat agar tidak menceritakan hal rumah tangga kepada umum kerana ia terlalu peribadi.   

“Selain itu saya tidak mahu ada pihak yang tidak suka dengan cerita tentang kami. Tiidak semua orang suka kita, jadi lebih baik saya dengar nasihat ibu.

”Selalunya apa yang orang tua cakap itu betul,” katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.  

Almy selamat diijabkabulkan dengan pelakon Fizz Fairuz dengan sekali lafaz dalam satu majlis yang diadakan di Masjid Daerah Balik Pulau, Pulau Pinang, pada 26 April lalu.   

Majlis resepsi pihak perempuan akan di adakan di Hotel Vistana, Pulau Pinang pada 31 Mei ini, manakala pihak lelaki pada 7 Jun depan di Raub, Pahang.

Dalam pada itu, ditanya tentang gangguan daripada pihak luar terhadap rumah tangganya Almy berkata setakat ini kehidupan mereka berjalan lancar dan dia tidak mahu fikir tentang hal itu.   

Dia juga menganggap alam perkahwinan dan kehidupan berumahtangga merupakan sebuah kisah baharu dalam dirinya selain bergelar seorang isteri.   

“Setakat ini Alhamdulillah tiada sebarang gangguan tidak diingini dan saya malas nak fikir perkara seperti itu.   

“Saya anggap perkara yang sudah lepas sudah habis dan kini buka buku baru,” katanya.   

Sementara itu, Almy berkata, mereka belum merancang untuk berbulan madu berikutan terlalu sibuk dengan persiapan majlis resepsi kedua-dua belah pihak yang bakal berlangsung.   

“Insya-Allah lepas selesai majlis resepsi kedua-dua pihak dan selepas majlis Anugerah Bintang Popular barulah kami fikir untuk berbulan madu.

“Sekarang ini banyak duit habis, jadi kenalah kerja dulu baru boleh fikir tentang bulan madu,” katanya.

 

Almy Nadia, Fizz Fairuz

Artikel Lain