PETALING JAYA: Penerbit drama Ziela Jalil mendedahkan hidupnya tidak terurus selepas suaminya, Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayub meninggal dunia akibat kanser prostat pada 24 Januari 2008. Ziela Jalil atau nama sebenarnya Norzilah Abdul Jalil, 44, berkata, ketika itu, dia akan ke kubur suaminya setiap hari kerana fikiranya rungsing selain merasakan tidak mampu menguruskan diri serta dua anak mereka iaitu Puteri Julia Nabilah dan Megat Jufri Nasrullah yang kini masing-masing berumur 21 dan 19 tahun. "Jujurnya, ketika suami meninggal, saya tak tahu macam mana nak mulakan kehidupan saya tanpanya. "Maklumlah, kami besarkan anak bersama-sama dan tiba-tiba dia meninggalkan kami. Peristiwa itu membuatkan fikiran saya menjadi runsing. "Sehinggakan setiap hari, pada pagi dan petang selama enam bulan saya ke kubur arwah. Bukan tak boleh terima takdir, tetapi saya masih lagi sukar untuk melepaskan dia," katanya kepada mStar Online. Ziela diminta berkongsi pengalamannya selama enam tahun menjadi ibu tunggal selepas suaminya yang juga bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, meninggal dunia. Selain dua anak kandungnya itu, Ziela mempunyai seorang anak angkat iaitu Ibrahim Junid Abdullah yang baru berusia dua tahun. Ziela bersama anak angkatnya Ibrahim Junid Abdullah yang berusia dua tahun. Ziela merupakan isteri kedua Allahyarham. Tambah Ziela, dia mula bangkit selepas diberi semangat oleh rakan-rakannya yang mahukan dia meneruskan kehidupan menjaga anak-anak selain menguruskan produksi miliknya Pena Creative Pictures Sdn. Bhd. "Alhamdulillah saya bangkit perlahan-lahan. "Dulu jika saya marah anak-anak, saya akan terus menghubungi arwah suami dan dia akan hubungi mereka untuk menjelaskan sebab-sebab kenapa saya marah. Tetapi sekarang ini saya seorang. "Cuma ketika setahun selepas arwah meninggal saya mempunyai masalah untuk mendidik anak lelaki saya," ujarnya. Dalam pada itu, Ziela berkata, dia juga bersyukur memiliki dua anak yang cukup menghormati orang tua. Katanya kerana cara didikan dia yang sangat tegas selain memberikan mereka cukup pendidikan agama, kedua-dua anaknya itu mengetahui batas-batas mereka dalam hidup. "Alhamdulillah syukur saya mempunyai anak-anak yang sangat menghormati orang tua. "Bayangkan, saya cukup tegas dengan mereka malah saya pernah memukul mereka ketika kecil. “Antara pengalaman lama, saya pernah memanggil orang untuk membuka pintu bilik Jufri yang dikunci kerana saya mahu tahu apa yang disimpan di dalam biliknya itu,” jelas Ziela. Sementara itu, bersempena sambutan Hari Ibu pada Ahad ini, Ziela berkata dia mengharapkan hadiah kejayaan anak-anaknya dalam kehidupan mereka. "Saya tak harapkan apa-apa, cuma saya sentiasa berdoa dan berpuasa demi anak-anak agar mereka berjaya dalam kehidupan," katanya. Hari Ibu disambut pada minggu kedua setiap bulan Mei.