KUALA LUMPUR: Bakat lakonan Nasha Aziz tidak boleh disangkal apabila lakonannya jelas memberi sentuhan emosi mendalam kepada penonton yang menyaksikan pementasan teater Di Bawah Lindungan Kaabah yang membuka pentasnya di Panggung Sari Istana Budaya bermula 9 hingga 18 Mei ini. Penghayatan diberikan oleh pelakon wanita itu berjaya menghidupkan watak Zainab yang tersiksa kerana menanggung rindu terhadap orang dicantainya Hamid iaitu watak dimainkan oleh Adi Putra, mereka dipisahkan kerana adat. Halangan demi halangan yang menimpa kedua-dua pasangan ini sehingga Zainab jatuh sakit dan meninggal dunia telah meruntun hati hampir 1000 penonton yang hadir menyaksikan pementasan malam pertama itu. Meskipun kali terakhir berlakon teater menerusi Lantai T.Pinky pada 2006 sebagai watak penari, kali ini Nasha berjaya mencuri perhatian penonton dengan watak yang jauh berbeza. Fizo membawa watak Salleh dengan baik. Nasha yang ditemui selepas persembahan tersebut megakui jatuh cinta dengan watak Zainab dan cuba menjiwai watak tersebut sepenuhnya. "Saya buat yang terbaik untuk membawa Zainab masuk dalam diri saya dan menzahirkannya semula melalui lakonan kepada penonton. "Saya sendiri dapat merasakan bagaimana situasi Zainab yang berperang danga rasa rindu terhadap Hamid," katanya. Teater yang diadaptasi daripada novel karya Allahyarham Prof Dr. Hamka Di Bawah Lindungan Kaabah ini turut diperkuatkan dengan lakonan pelakon terkenal seperti Adi Putra, Elfira Loy, Yasmin Hani, Fizo Omar, Dafi, Dayana Roza, Zahid dan Mohd Taufiq Izmir. Sementara Adi Putra seperti biasa mempunyai aura pentas tersendiri, biarpun dilihat agak kurang beremosi, namun lakonan watak Hamid dewasa dapat dibawanya dengan baik. Adi turut mengakui pementasan malam pertama masih belum menemui keserasian antara pelakon. "Saya sudah beri hampir 80 peratus pada malam ini, cuma mungkin ini merupakan pementasan malam pertama tentu masih banyak yang perlu diperbaiki untuk malam seterusnya. "Bagi saya cabaran utama adalah bila lakonan watak remaja dibawa oleh pelakon lain, jadi saya perlu meneruskan kesinambungan itu terhadap Hamid dewasa," ujarnya kepada mStar Online. Dalam pada itu, watak Zainab remaja yang dibawa oleh Elfira Loy tidak kurang hebatnya, namun kekurangan pengalaman membezakan penghayatan dan permainan emosi tidak banyak yang dilontarkan oleh pelakon ini. Elfira Loy, Dafi, Dayana Roza dan Mohd Taufiq Izmir membawa watak remaja. Sementara itu, pengalaman pertama Yasmin Hani membawa watak Rosnah dewasa iaitu rakan baik kepada Zainab boleh dipuji kerana berjaya menghubungkan emosi sedih yang dibawa Zainab kepada kekasihnya Hamid melalui utusan surat buat suaminya iaitu Salleh lakonan Fizo Omar. Salleh dan Rosnah bertindak sebagai penghubung yang memberitahu keadaan kedua-dua pasangan yang jauh terpisah itu. Bagi pengarahnya, Rosminah Tahir, pementasan malam pertama secara keseluruhan pelakon masih belum mendapat keserasian sepenuhnya. "Ada beberapa babak yang perlu dibuang bagi memadatkan jalan cerita ini, lakonan pula saya lihat masih kurang emosi. "Kita akan cuba perbaiki lagi untuk malam-malam seterusnya," katanya. Teater Di Bawah Lindungan Kaabah dipentaskan di Panggung Sari Istana Budaya bermula pada 9 hingga 18 Mei ini.