KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi Arja Lee menjelaskan tuduhan kononnya dia menjadi punca kepada keretakan hubungan bekas peserta Akademi Fantasia (AF) iaitu Indah dengan tunangnya sama sekali tidak benar. Arja atau nama sebenarnya Azharudin Ramli, 30, berkata, umum mengetahui dia kini sedang rapat dengan pelakon Shima Anuar dan adalah tidak mungkin dia terlibat dengan dua wanita berbeza dalam satu-satu masa. "Saya akui rapat dengan Indah tetapi hanya sebagai teman artis sahaja dan gosip mengatakan saya menjadi punca keretakan hubungan mereka adalah tidak berasas sama sekali. "Saya juga difahamkan Indah juga telah menafikan perkara itu malah hubungannya dengan tunang masih baik tanpa sebarang masalah," katanya kepada mStar Online. Arja ditemui ketika menghadiri majlis tayangan episod kemuncak Fear Factor Malaysia musim kedua yang diadakan di Restoran Picknik di Publika di sini pada Ahad. Sebelum ini, Indah juga menjelaskan kepada mStar Online pertunangannya dengan pemuda berusia 31 tahun itu tidak mempunyai sebarang masalah dan terkejut apabila nama Arja turut dikaitkan dalam hal tersebut. Dalam pada itu, menjelaskan dakwaan dia ada memberi hadiah kepada Indah sebelum ini, Arja berkata, dakwaan itu tidak benar dan hadiah dimaksudkan bukan darinya sebaliknya adalah pemberian daripada salah seorang peminat Indah. Indah sudah menjelaskan khabar angin mengatakan dia telah putus tunang adalah tidak benar sama sekali. Jelas Arja lagi, dia hanya menolong untuk menyimpan hadiah berkenaan sebelum ia diserahkan kepada Indah. "Hadiah yang dimaksudkan sebelum ini bukan dari saya tetapi daripada peminatnya dan saya hanya tolong pegang sahaja sebelum diserahkan kepadanya," jelasnya. Dalam perkembangan lain, Arja berkata, dia baharu sahaja mengadakan persembahan bersempena Hari Ibu di sebuah pusat peranginan di Cherating, Pahang dan mengakui gembira dapat mengadakan persembahan khas buat kaum ibu. Jelas Arja, sedikit sebanyak ia dapat mengubat kerinduan terhadap arwah ibunya Salmah Aziz yang meninggal dunia pada 2 Ogos tahun lalu akibat barah. "Selain menayangkan video yang mengandungi gambar-gambar kami bersama saya juga sempat berkongsi kisah tentangnya kepada peminat yang hadir dan sedikit sebanyak dapat menyentuh hati mereka tentang betapa besarnya kasih ibu terhadap anak-anak," jelasnya. Tambah Arja lagi, selain sibuk dengan undangan nyanyian bagi mempromosikan single pertamanya, Cerita Pada Mereka, dia juga bakal muncul dengan drama bersiri Misiku Kuza musim kedua dalam masa terdekat.