PETALING JAYA: Pelakon Oh My English! (OME) yang terkenal menerusi watak Jibam iaitu Akhmal Rizal mengambil keputusan untuk meninggalkan siri popular itu selepas musim ketiga yang sedang menjalani penggambaran. Akhmal, 22, berkata, keputusan itu dibuat kerana dia enggan terus dibayangi dengan watak tersebut selain ingin mencuba watak selain daripada peranan sebagai pelajar sekolah. "Sudah tiga musim saya bersama OME dan panggilan 'Jibam' itu sudah melekat ke mana sahaja saya pergi. Bukannya saya tidak suka dengan gelaran itu tetapi ia sebenarnya sedang mengehadkan kebolehan sebenar saya sebagai pelakon. "Atas sebab itu juga saya sudah tiba masanya saya tinggalkan OME kerana ingin keluar daripada zon selesa dan mencuba sesuatu yang baharu pula," katanya kepada mStar Online. Musim terbaharu OME ditayangkan di Astro TVIQ (610) dan Astro Maya HD (135) pada setiap hari Ahad pada pukul 9 malam. Selain Akhmal, OME turut dibarisi pelakon seperti Zain Saidin, Fauziah Ahmad Daud, Nadiya Nissa, Amyra Rosly, Sherry Alhadad dan Rahim Sepahtu. Dalam pada itu, Akhmal berkata, keputusan meninggalkan OME adalah sebagai salah satu cara bagi memberinya peluang untuk menerokai bidang lakonan dengan lebih meluas selepas ini. Jelas Akhmal, biarpun sedih dan berat untuk membuat keputusan itu namun dia nekad bagi memastikan kariernya dalam bidang itu berkembang. "Bukan mudah untuk membuat keputusan itu kerana karier lakonan saya bermula dari OME tetapi jika saya mahu karier yang panjang dalam bidang lakonan, saya perlu nekad," jelasnya. Sementara itu, Akhmal berkata, selain bidang lakonan dia juga memberitahu meminati bidang pengacaraan dan gembira apabila diberi peluang untuk bergelar hos sebuah program terbitan TV9. "Selain lakonan saya minat mengacara dan peluang yang saya dapat untuk menjadi hos sebuah program yang akan diumumkan nanti adalah saat paling gembira untuk saya," ujarnya.