suria

Syamsul Yusof Tidak Lagi Merajuk Berkat Semangat Puteri Sarah

Syamsul Yusof
PETALING JAYA: Pengarah filem Syamsul Yusof memberitahu isterinya Puteri Sarah Liyana, 29, berjaya memulih semula semangatnya untuk tampil di khalayak selepas isu filem arahannya, KL Gangster 2 dicetak rompak pada tahun lalu.

Syamsul, 30, berkata, sejak mendirikan rumah tangga, Puteri Sarah banyak memberi kata-kata semangat untuk dia bangun semula dan bergiat aktif dalam dunia seni seperti sebelum ini.

"Saya sudah boleh terima hakikat (isu filem dicetak rompak). Selepas kahwin, isteri banyak memberi dorongan dan semangat untuk saya kembali ke dunia seni," katanya kepada  mStar Online.

Syamsul ditemui pada majlis pra tonton Abang Long Fadil di GCS One Utama di sini pada malam Isnin.

Ini merupakan kali pertama Syamsul muncul di khalayak sejak filem KL Gangster 2 arahannya dicetak rompak sebulan awal sebelum tayangannya pada 3 Oktober 2013.

Ia mematahkan semangat Syamsul apabila dia tidak dapat menerima hakikat tentang perkara itu menyebabkan dia seolah-olah merajuk dengan dunia seni.

Dalam pada itu, ditanya pula kehidupan selepas mendirikan rumah tangga pada 8 Mac lalu, Syamsul berkata hidupnya semakin sempurna bersama Puteri Sarah.

"Saya dapat rasa ada perubahan dalam diri lepas kahwin, tetapi tak boleh nak cerita kepada semua," selorohnya.

Sementara itu, ditanya mengenai pula filem Abang Long Fadil, dia gembira melihat hasil sentuhan adiknya, Syafiq yang ternyata jauh berbeza dengan apa yang dibayangkan.

Bagaimanapun Syamsul berharap agar penonton tidak membandingkan cara pengarahan dia dan Syafiq kerana masing-masing mempunyai sentuhan berbeza.

"Sebelum ini orang membandingkan saya dengan ayah (Datuk Yusof Haslam). Dan sekarang orang membandingkan pula saya dengan Syafiq. Bagi saya, apa yang penting adalah cara pengarahan itu.

"Berdasarkan apa yang ditonton, ia jauh dengan apa yang saya bayangkan. Ternyata cara saya dan Syafiq berbeza. Dia mempunyai pemikiran lain,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Syamsul kini sedang menyiapkan skrip bagi filem seram terbaharu berjudul Munafik.

Ia merupakan filem seram kedua Syamsul selepas Khurafat.

Abang Long Fadil bakal ditayangkan di 81 pawagam secara serentak di seluruh Malaysia bermula 29 Mei 2014.

Artikel Lain