PUTRAJAYA: Selepas sekian lama mendiamkan diri mengenai status hubungannya dengan aktres Uqasha Senrose, pelakon Pekin Ibrahim memberitahu ikatan pertunangan mereka masih terjalin namun menyerahkan soal jodoh kepada ketentuan Allah. Pekin, 34, berkata, kenyataan Uqasha mengenai hubungan mereka yang telah berakhir disifatkan berbaur emosional dan mereka sedang mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah yang timbul. "Ikatan pertunangan tidak pernah putus cuma perancangan perkahwinan ditangguhkan seketika bagi memberi ruang kepada kami untuk berfikir semasak-masaknya tentang keputusan untuk melangkah ke fasa seterusnya dan mencari keserasian. "Keluarga kedua-dua belah pihak mengetahui perkara ini dan mereka juga turut menasihatkan agar kami tidak terburu-buru dan bertenang buat masa ini," katanya. Pekin memberitahu mereka sepatutnya berkahwin pada 25 Oktober depan. Pekin ditemui ketika hadir ke majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2013) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dekat sini pada malam Sabtu lalu. Uqasha dalam satu kenyataan kepada sebuah akhbar Februari lalu mendedahkan Pekin telah meminta supaya mereka memutuskan hubungan atas alasan tiada persefahaman dan perancangan untuk berkahwin juga tidak menjadi kenyataan. Pasangan itu sepatutnya disatukan sebagai suami isteri pada 25 Oktober depan. Pekin menyerahkan soal perkahwinan kepada jodoh. Dalam pada itu, Pekin mengakui masih menyayangi Uqasha namun tidak mahu terlalu memikirkan mengenai soal tersebut kerana mahu kedua-dua pihak bertenang sebelum membuat sebarang keputusan selanjutnya. Bagaimanapun kata Pekin, dia dan Uqasha kini jarang berjumpa untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku diantara mereka kerana sibuk dengan kerjaya masing-masing. "Tipu kalau saya kata saya tidak sayangkan dia tetapi buat masa ini saya malas hendak fikir tentang perkara itu kerana kalau ada jodoh adalah nanti," katanya. Dalam perkembangan lain, Pekin berkata dia kini sedang sibuk di lokasi penggambaran filem Juvana 2 arahan Faisal Ishak.