PETALING JAYA: Pelakon senior, Lydiawati memberitahu sudah dua bulan dia tidak berlakon selepas diserang penyakit saraf dan reumatik. Lydiawati atau nama sebenarnya Salina Saimon, 48, berkata dia mengalami penyakit itu selepas berasa kebas dan bisa pada bahagian kiri kaki dan tangan sehingga menyukarkan pergerakannya. "Ia bermula pada awal Januari lalu apabila tangan dan kaki kiri saya rasa berbisa. Risaulah jugak, takut ada masalah jantung. "Tetapi doktor cakap saya okey. Sehinggalah pada 23 Mei lalu, saya terus ke Hospital Pakar Ampang Puteri selepas rasa sakit semakin teruk dan doktor mengesahkan saya ada penyakit saraf," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Khamis. Tambah Lydiawati, sepatutnya dia perlu menjalani beberapa rawatan lain namun selepas melihat bil berjumlah RM5,000 sepanjang tiga hari di hospital itu, dia memutuskan untuk keluar wad pada Isnin lalu kerana merasakan tidak mampu menjelaskan bayaran rawatan yang lebih tinggi. Lydiawati memberitahu dia berasa kebas dan bisa pada bahagian kiri kaki dan tangan sehingga menyukarkan pergerakannya. Beritahu Lydiawati dia berkemungkinan besar akan menyambung rawatan penyakitnya itu di hospital kerajaan agar tidak dibebani dengan masalah pembayaran. "Sebelum masuk ke Ampang Puteri, saya ada juga meminta bantuan wang daripada beberapa rakan artis, takut duit tak cukup. "Tetapi melihatkan bil yang harganya tidak munasabah, lebih baik saya membuat rawatan di hospital kerajaan sahaja. Lagi pun di sana juga mempunyai doktor pakar yang bagus-bagus," ujarnya. Sementara itu, dia turut bersyukur apabila ramai peminat serta rakan artis memberikan sokongan moral selain ubat-ubatan tradisional kepadanya. Kata Lydiawati, dia akan cuba menggunakan beberapa ubat tersebut dalam tempoh masa tiga minggu sebelum menyambung rawatan di hospital kerajaan. Dalam pada itu, Lydiawati berkata, dia akan berehat daripada lakonan sementara waktu namun akan menerima tawaran berlakon sekiranya ada.