suria

Pada Usia 65 Tahun Eddy Silintoga Aktif Joging

Eddy Silintoga percaya waktu pagi adalah masa yang terbaik untuknya bersenam.

PETALING JAYA: Penyanyi lagenda Indonesia Eddy Silintoga mengakui amalan berjoging setiap hari membuatkan dia kekal sihat walaupun sudah mencecah usia 65 tahun.

Eddy berkata, seawal pukul 4.30 pagi dia sudah memulakan aktiviti joging kerana percaya waktu pagi adalah masa yang terbaik untuknya bersenam.

"Nak sihat senang sahaja. Jaga makan dan kemudian bersenam. Setiap hari seawal pukul 4.30 pagi saya sudah bangun untuk joging.

"Dalam pada itu saya tidak pernah sekat pemakanan saya, cuma pastikan makanan yang diambil itu sihat.

"Dan paling penting sekali adalah bersyukur dengan apa yang kita miliki tidak kira ketika susah atau senang kerana perjalanan hidup kita lebih mudah apabila kita bersyukur dalam semua perkara," katanya.

Ditanya pula rahsia penjagaan vokal yang masih mantap setiap kali mengadakan persembahan, jelas penyanyi yang popular dengan lagu Bunga Tanjung, Lancang Kuning dan Oh Melati itu, dia tidak berpantang pada sebarang air minuman.

"Saya tidak berpantang apa-apa. Minum sahaja apa yang disukai.

"Alhamduliah Tuhan masih memberikan bakat untuk menjana kehidupan saya dan keluarga," ujarnya.

Sementara itu, Eddy bakal mengadakan persembahan sebagai penyanyi jemputan pada Konsert Nostalgia Dato Jamal Abdillah yang akan berlangsung pada 28 hingga 31 Ogos depan di Istana Budaya.

Harga tiket RM 458, RM358, RM258, RM108 dan RM58 boleh ditempah menerusi laman web www.tiket2u.biz atau hubungi talian Box Office iaitu 03-21618134.

Eddy Silintoga

Artikel Lain