PETALING JAYA: Bekas anggota kumpulan Elite dan pelakon Abby Abadi menganggap bekas suaminya iaitu Muhammad Noor Farhan Che Bakar farhan membuat tuduhan palsu mengenai pendedahan lelaki itu yang dikasari secara fizikal selepas kes penceraian mereka selesai pada Rabu lalu.
Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abd Manan, 37, menerusi laman Instagram miliknya berkata, dia terkejut dengan pendedahan lelaki berkenaan dan menganggap ia sebagai satu cara untuk menutup cerita sebenar yang berlaku dalam rumah tangga mereka.
"Saya tiada saksi di sini cuma Allah sahaja yang maha mengetahui semu ini, terkejut saya membaca kenyataan yang dibuat Farhan kerana sehabis baik saya cuba menutup semua cerita yang tidak perlu orang luar tahu sepanjang kami bersama sebagai suami isteri," katanya.Terdahulu, Muhammad Noor Farhan, 24, mendakwa Abby pertama kali mencederakannya sekitar Januari lalu dengan membaling kunci motosikal ke wajahnya sehingga mengakibatkan kesan lebam selepas Abby mendapat tahu dia memberitahu seorang kenalan mereka sudah tidak mempunyai hubungan.
Dedahnya lagi, Abby sekali lagi bertindak agresif mencakar muka dan lengan kirinya pada 17 Mei lalu selepas dia enggan berbincang mengenai kes perceraian mereka yang dilafazkan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang sedang berjalan di mahkamah.
Lelaki itu turut mendedahkan bukti gambar kesan kecederaannya pada bahagian muka dan lengan kiri akibat dicakar oleh bekas isterinya itu kepada pihak media.