Aidil atau nama sebenarnya Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, 27, yang menghubungi mStar Online berkata, sebagai seorang suami, dia perlu mempertahankan isterinya daripada tuduhan-tuduhan yang dilemparkan Rita kepada pihak media pada Rabu lalu.
Malah Aidil yang juga pemain bola sepak pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) turut berharap penjelasan yang diberikannya ini sedikit sebanyak dapat membersihkan nama baiknya dan isteri yang selama ini sering dikecam masyarakat.
Rita dan Aidil sah bercerai talak satu pada 5 September 2013 di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, Negeri Sembilan selepas lima tahun mendirikan rumah tangga.
Berikut ini penjelasan hati Aidil kepada mStar Online:
Betul ke Zarema tidak benarkan kamu berkomunikasi dengan Rita seperti yang Rita perkatakan?
Saya sebenarnya terkejut apabila Rita mengaitkan isteri saya (Zarema) dalam masalah kami. Apabila dah jadi macam ini saya perlu mempertahankan isteri saya yang tidak ada kena mengena pun dengan perkara ini.
Selama ini isteri saya tidak pernah menghalang saya untuk berjumpa dengan anak-anak. Saya terkejut apabila Rita menuduh isteri saya pula menyekat (block) aplikasi WhatsApp dan WeChat saya agar tidak dapat berhubung dengannya. Rasanya tuduhan Rita itu sudah melampau. Andai kata memang benar WhatsApp dan Wechat disekat, SMS (sistem khidmat pesanan ringkas) kan ada? Kenapa dia tak boleh SMS atau telefon saya terus?
Apabila Rita membuat kenyataan kepada media, ia telah memburukkan nama baik isteri saya yang mana dia turut dihentam oleh orang ramai di laman sosial.
Rita juga berkata sejak Aidil berkahwin dengan Zarema pada Mac lalu, Aidil langsung tak jenguk anak-anak?
Diakui memang sejak berkahwin ini, saya tidak berkesempatan berjumpa dengan anak-anak kerana saya kini menetap di Johor. Sebab itu saya jarang jumpa anak-anak.
Tetapi saya ada tanya khabar mereka kepada Rita. Dia yang tidak balas mesej saya. Masa anak saya, Arjuna sakit pun dia tidak beritahu. Saya dapat tahu pun selepas Rita memuat naik gambar anak di Instagram dan apabila saya mesej dia tanya betul ke anak masuk hosiptal? Dia tak jawab pun.
Itu yang membuatkan saya lagi geram. Di mahkamah, saya mengalah dan beri hak penjagaan anak-anak kepada dia. Tetapi apabila anak sakit, dia tak cakap apa-apa pun kepada saya.
Tetapi apabila nama saya tidak sudah-sudah diburukkan dan sekarang ini dia mahu babitkan Zarema sekali, rasanya ia agak melampau. Dari dulu sampai sekarang dia selalu memburukkan nama saya. Pada hal isteri saya tidak masuk campur tentang perkara ini.
Jika benarlah dia masih tidak berpuas hati dengan saya kononnya saya tidak bertanggungjawab terhadap anak-anak, tunjuk buktinya. Saya dah penat dah asyik kena cacian daripada orang sahaja.
Tuduhan itu lebih ditujukan kepada isteri saya. Sekiranya isteri mahu mengambil tindakan, terpulang kepada dia.