suria

AR Badul Tepis Jadi Juri Berat Sebelah

Kumpulan Kepoh bergelar juara program Bintang Mencari Bintang musim kedua yang diadakan di Stadium Malawati Shah Alam pada malam Ahad.

SHAH ALAM: Pelakon veteran dan juri program Bintang Mencari Bintang musim kedua (BMB2) iaitu A.R. Badul menegaskan tidak timbul soal kroni apabila adiknya, Adlin Aman Ramlie dan kumpulan Kepoh dipilih sebagai juara pertandingan itu yang diadakan di Stadium Malawati di sini pada malam Ahad.

A.R. Badul berkata, Adlin yang bertindak sebagai sifu dan juga Kepoh layak memenangi pertandingan berkenaan kerana persembahan ditampilkan menepati kehendak juri dan berhak menerima gelaran juara.

"Pertandingan ini bukan hanya diadili oleh saya seorang tetapi ada dua lagi juri termasuklah Fauziah Ahmad Daud yang memang terkenal dengan kelantangannya dalam memberikan pendapat.

"Keputusan malam ini bukan saya yang buat tetapi oleh kesemua juri termasuk juri awam dan pemiant yang mengundi mereka dan tidak seharusnya isu favouritism timbul kerana mereka layak memenangi pertandingan itu," katanya kepada mStar Online.

AR Badul menepis tuduhan kononnya dia bersikap kroni dalam mengadili peserta BMB2.

Kumpulan Kepoh yang dianggotai oleh  Lizujuhan Hamzah, 27 dan Suffian Shafri Ibrahim, 27, bergelar juara BMB2 selepas mendapat 67 peratus markah sekali gus menumpaskan dua lagi peserta iaitu Sumbu dan Mmmmm.

Kemenangan itu melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai  RM200,000 berserta trofi.

istem pemarkahan diadili berdasarkan 50 peratus pilihan juri profesional, 20 peratus juri awam dan 30 peratus lagi adalah daripada khidmat pesanan ringkas (SMS) penotnon.

Dalam pada itu, A.R. Badul berkata, sejak awal dia telah memberi amaran kepada Adlin bahawa dia tidak akan berkompromi dalam membuat sebarang keputusan sekiranya kumpulan Kepoh tidak memberikan persembahan baik dalam pertandingan itu.

Adlin menegaskan Kepoh layak bergelar juara BMB2.

Malah katanya, dia juga banyak memberi teguran dan kritikan sepanjang 10 minggu pertandingan itu berlangsung kepada mereka kerana tidak berpuas hati dengan lawak dipentaskan.

"Jika sesiapa yang mengikut program ini daripada awal mereka tahu bahawa banyak kritikan yang saya berikan bukan sahaja kepada peserta lain tetapi kepada Kepoh.

"Soal hubungan adik beradik tidak menjadi perhatian saya sebaliknya ingin mencari bakat yang baik untuk diketengahkan dalam industri hiburan lawak," ujarnya.

Sementara itu, Adlin berkata, kumpulan Kepoh layak memenangi pertandingan itu kerana usaha keras yang ditunjukkan sepanjang pertandingan itu berlangsung dan isu kroni tidak seharusnya dibangkitkan.

"Saya seorang yang mementingkan kesempurnaan dalam melakukan sesuatu dan Kepoh berjaya mengikut kehendak yang saya berikan sepanjang pertandingan ini berlangsung.

Kepoh berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM200,000 berserta trofi.
"Mereka layak bergelar juara kerana segala usaha yang mereka curahkan adalah melebihi daripada apa yang saya minta. Saya kagum," katanya.

Dalam perkembangan lain, Adlin berkata, dia berharap pihak TV3 akan membuka lebih banyak ruang kepada Kepoh untuk terus mengembangkan bakat mereka dengan menerbitkan program khas.

Kata Adlin, dia sendiri akan membimbing mereka sekiranya diberi peluang dalam memastikan Kepoh bakat Kepoh tidak disia-siakan begitu sahaja selepas ini.

"Saya tidak mahu mereka menjadi antara lambakan bakat yang tidak mempunyai arah tuju dan saya sedia membantu mereka. Harap-harap stesen TV3 akan membuka ruang kepada mereka selepas ini," katanya.

Artikel Lain