suria

Azwan Kombos Tiada Kaitan Kes Nad Zainal Diugut

Azwan menepis semua tuduhan yang dilemparkan bekas teman wanitanya terhadap dirinya.
PETALING JAYA: Pelakon Azwan Kombos menegaskan tidak pernah menggangu bekas teman wanitanya, Nad Zainal seperti mana didakwa oleh aktres tersebut sehingga dia membuat satu laporan terhadapnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, pada Selasa.

Azwan, 29, berkata, sejak hubungan mereka berakhir dua bulan lalu dia tidak pernah menghubungi atau menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada wanita berkenaan seperti didakwa oleh pelakon itu.

"Saya pelik kenapa isu ini timbul lagi kerana saya tidak pernah ganggu dia seperti didakwa. Tolonglah jangan kaitkan saya dengan dia lagi.

Nad membuat laporan polis terhadap Azwan pada Selasa. 

Dia ada kehidupannya sendiri dan saya sudah pun meneruskan kehidupan saya," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Rabu.

Nad dalam laporan sebuah akhbar mendakwa seorang wanita yang tidak dikenali menghubunginya sebanyak tiga kali dengan menggunakan nombor telefon berbeza dan mengeluarkan kata-kata negatif terhadapnya.

Laporan itu turut menyebut wanita berkenaan mengugut akan mengaibkan Nad kepada wartawan kerana bertindak memutuskan hubungan cinta dengan Azwan.

Pelakon itu curiga dan keliru dengan hubungan wanita terbabit dengan Azwan sehingga sanggup membuat panggilan mengancam dirinya. Bimbang dirinya diancam, Nad terpaksa membuat laporan polis.

Dalam pada itu, Azwan menafikan dia mempunyai kaitan dengan gangguan diterima Nad dan menegaskan tidak mengenali wanita tersebut serta tujuan individu tersebut bertindak sedemikian.

Tegas Azwan, dia juga tidak mengetahui atau dalang disebalik kewujudan laman Facebook yang dibuka oleh seorang individu tidak dikenali bertujuan untuk memburukkan Nad.

Azwan dan Nad berpisah sejak dua bulan lalu.

"Saya tidak tahu mengenai perkara itu malah tidak kenal siapa wanita yang dimaksudkan menggangu dia (Nad)," katanya.

Sementara itu, Azwan enggan mengulas lanjut mengenai tindakan Nad yang membuat laporan polis terhadapnya kerana tidak mengetahui situasi sebenar wanita berkenaan melakukan laporan itu.

Malah katanya, buat masa ini juga dia tidak bercadang untuk mengambil sebarang tindakan sebaliknya akan mendapatkan khidmat nasihat daripada pihak pengurusannya.

"Saya tidak tahu hendak komen apa mengenai laporan yang dibuat dan akan berbincang dengan pihak pengurusan terlebih dahulu untuk tindakan selanjutnya," ujarnya.
Azwan Kombos, Nad Zainal.

Artikel Lain