KUALA LUMPUR: Pelakon Nad Zainal bersedia mendedahkan mesej-mesej gangguan yang dihantar oleh bekas kekasihnya Azwan Kombos kepada umum jika keadaan memaksa. Nad, 24, berkata, perkara tersebut terpaksa dilakukan sebagai bukti bahawa dia tidak mengada-adakan cerita sebaliknya benar diganggu oleh Azwan beberapa kali selepas mereka berpisah. "Saya ada bukti daripada mesej-mesej yang dia hantar kepada saya termasuk ugutan daripada seorang wanita yang tidak dikenali dan saya sudah serahkan perkara itu kepada pihak polis. Saat indah Nad Zainal dengan Azwan Kombos meninggalkan sebuah kenangan pahit. "Jika pihak dia terus panjangkan cerita… saya akan dedahkan bukti daripada mesej-mesej rayuan dia ketika saya berada di Korea untuk penggambaran drama," ujarnya kepada mStar Online selepas Majlis Pelancaran Lima Produk Terbaharu Terbitan JS Pictures di Hotel Renaissance, di sini, Khamis. Nad berkata demikian ketika diminta mengulas tentang laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang yang dibuatnya berkenaan ugutan dan gangguan daripada bekas kekasihnya ndan seorang wanita pada 24 Jun lalu. Dalam pada itu, Nad berkata, dia tidak akan berdiam diri dengan ugutan yang diterima daripada wanita tidak dikenali itu. Tegasnya, dia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan mahkamah jika mempunyai bukti yang kukuh daripada siasatan pihak polis. "Saya sedang tunggu hasil siasatan polis dan ingin mengetahui siapa perempuan yang mengugut saya untuk mendedahkan keburukan saya kepada media. "Perempuan itu menganggu presiden kelab peminat saya untuk meminta nombor telefon saya, esok (Jumaat) saya akan ke Balai Polis untuk melihat hasil siasatan. "Jika terdapat bukti dalam perkara itu dan mengetahui siapa perempuan itu, saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan saman kepadanya," katan Nad. Nad kini bahagia dengan cinta baharunya, Hefny Sahad. Sementara itu, Nad turut kesal apabila bekas teman lelakinya itu seringkali menunjukkan rasa seperti tidak tahu tentang perpisahan tersebut. Malah, dia rimas apabila Azwan masih memberi kenyataan kepada media tentang hubungan yang hampir dua bulan sudah berakhir. "Dia kata tidak tahu tentang perpisahan ini, walhal kami sudah bersemuka dan dia sudah bercakap dengan ibu saya. "Saya pelik kerana dia kata sudah boleh terima kenyataan tetapi kenapa sering kali dia hantar mesej merayu untuk saya kembali kepadanya lagi," katanya. Selepas berpisah dengan Azwan, Nad dikatakan bercinta dengan pelakon baru Hefny Sahad.