suria

Irma Hasmie Belum Lupakan Bidang Lakonan

Irma Hasmie dijangka bersalin anak keduanya pada 18 Julai depan.
PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara Irma Hasmie tidak pernah melupakan bidang lakonan biarpun sudah dua tahun tidak menerima sebarang projek sejak berkahwin dengan Redza Syah Azmeer Mohd Redzuan pada 29 Jun 2012.

Irma, 32, berkata, dia ingin kembali aktif dalam dunia lakonan selepas melahirkan anak keduanya yang dijangka pada 18 Julai depan.

"Saya tidak pernah bersara daripada dunia lakonan cuma tumpuan saya sejak dua tahun kebelakangan ini adalah kepada rumah tangga dan anak.

"Perasaan rindu itu sentiasa ada dan Insya-Allah selepas ini saya ingin kembali aktif sebagai pelakon," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Irma berkata, sebelum ini dia ada menerima banyak tawaran berlakon namun terpaksa menolak secara baik kerana ingin memberikan tumpuan kepada keluarga dan kekangan masa.

Namun kata Irma, selepas ini jika ada watak yang bersesuaian dengan statusnya dan imejnya dia tidak keberatan untuk menerima sesuatu tawaran tersebut.

"Alhamdulillah masih ada tawaran yang saya terima tetapi terpaksa tolak secara baik tetapi selepas ini Insya-Allah jika ia bersesuaian saya akan terima kerana rasa rindu hendak kembali ke set penggambaran," jelasnya.

Sementara itu, Irma berkata, buat masa ini dia belum terfikir untuk mengacarakan rancangan lain selain program Assalamualaikum yang bersiaran di Tv AlHijrah.

Jelas Irma, biarpun pihak pengurusan stesen itu tidak menghalang untuk dia berbuat demikian namun dia selesa bersama program bual bicara itu.

"Pihak pengurusan saya tidak mempunyai halangan sekiranya ada tawaran daripada stesen lain yang ingin mengambil saya sebagai pengacara program mereka tetapi bukanlah rancangan yang mempunyai genre sama seperti Assalamualaikum," katanya.

Irma Hasmie, Assalamualaikum.

Artikel Lain