suria

Sebak Siti Nurhaliza, Tiada Dendam Terhadap Sharifah Aini

Siti terkejut dan sedih dengan pemergian Allahyarham Sharifah Aini.

PETALING JAYA:  Penyanyi Datuk Siti  Nurhaliza Tarudin menjelaskan dia tidak pernah menyimpan sebarang dendam terhadap biduanita negara Datuk Sharifah Aini, 61, walaupun pernah terjadi krisis diantara mereka sebelum ini.

Siti, 35, berkata, dia tetap menghormati biduanita tersebut sebagai seorang kakak yang banyak mengajarnya mengenai dunia muzik selain memberi jasa besar terhadap industri seni tanah air.

"Yang dah lepas itu lepaslah. Saya tak simpan dalam hati dengan apa yang telah berlaku. Kali terakhir saya bertemu dengannya ketika beliau muncul di Anugerah Juara Lagu (AJL) dengan imej bertudung," katanya.

Siti ditemui di Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dekat sini bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Sharifah Aini.

Allahyarham meninggal dunia pada pukul 1.26 pagi Sabtu di Pusat Perubatan Pakar Damansara di sini akibat fibrosis paru-paru atau 'paru-paru berparut' selain virus Influenza A H1N1.

Siti dan Sharifah Aini sebelum ini pernah dilaporkan mempunyai krisis sehingga membuatkan mereka tidak bertegur sapa.

Pemergian Sharifah Aini akan tetap dikenang.
  
Bagaimanapun hubungan mereka kembali jernih selepas beberapa wartawan hiburan memainkan  peranan untuk mejernihkan kembali hubungan mereka dan detik itu dirakamkan untuk satu sesi fotografi bagi keluaran Hari Raya pada tahun 2010.

Sementara itu, Siti yang ditemubual media selepas dia membacakan surah Yasin kepada Allahyarham dengan reaksi  wajah yang cukup sedih sehingga membuatkan beliau tidak dapat menahan sebak dan menitiskan air mata apabila bercakap mengenai biduanita itu.

"Sejak disatukan bersama dalam sebuah sesi fotografi sebelum ini, hubungan kami seperti adik beradik.

"Subhanallah, dia pergi ketika di bulan Ramadan dan ia berlaku hanya kepada insan-insan yang terpilih.

"Terlalu banyak kebaikan beliau lakukan membuatkan saya begitu kagum dengannya. Bukan hanya saya, arwah ayah saya juga menyanjunginya," ujar Siti.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara dekat sini sebelum solat Zohor pada Sabtu.
Siti Nurhaliza, Sharifah Aini

Artikel Lain