PETALING JAYA: Pemergian biduanita negara, Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar yang menghembus nafas terakhirnya pada Sabtu ternyata memberi kesan yang mendalam buat industri muzik tanah air. Rakan artis kepada Allahyarham iaitu Datuk Hattan berkata, ia bukan sahaja satu kehilangan besar kepada negara dan industri tetapi juga buat pendatang baharu di bidang muzik. "Kehebatannya tiada pengganti. Hanya arwah yang boleh menyanyi dengan sebutan yang jelas dan nyanyiannya cukup merdu. "Dan kenapa saya katakan ia satu kehilangan besar buat penggiat muzik baru? Ini kerana tidak ramai yang sempat mengambil ilmu muzik daripada dia. "Bukan itu sahaja, ketegasan arwah membuatkan tidak ada yang berani cuba mengambil kesempatan terhadap beliau," katanya. Datuk Hattan Penyanyi yang pernah berduet dengan Allahyarham menerusi lagu Serampang Laut iaitu Herman Tino memberitahu, sebelum Allahyarham menghembuskan nafas terakhir, mereka sempat berbual dan bergurau senda walaupun ketika itu Allahyarham sedang nazak. "Sebenarnya Kak Pah (Allahyarham) yang meminta saya bertemu dengannya pada Jumaat lalu. Tak sangka pula ketika itu dia sedang sakit tenat. "Tetapi walaupun berkeadaan begitu, dia sempat juga bergurau ketika saya mengurut bahunya. "Kata dia 'sedapnya Man urut, sepatutnya kamu jadi suami aku'. Gurauannya itu juga mengingatkan saya ketika awal-awal berduet dengannya untuk lagu Serampang Laut. "Pada mulanya dia tidak percaya yang saya boleh berduet dengannya. Tetapi sejak lagu itu popular, barulah dia yakin baha kami serasi untuk bekerjasama. Dan sejak itu kami berkawan baik sehinggalah sekarang," ujarnya. Hermantino Dalam pada itu, Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Pencipta Lagu Tanah Air (Papita) iaitu Datuk M Daud berkata, Allahyarham juga seorang yang pemurah dan tidak pernah kedekut dalam memberi bantuan kepada rakan-rakan. "Kalau nak tahu, Kak Pah seorang yang mulia hatinya dan cukup pemurah kerana selalu membantu rakan-rakan yang mempunyai masalah kewangan. "Saya masih ingat lagi, beliau pernah memberikan saya wang sebanyak RM2,000 ketika saya dalam kesusahan. "Selain itu dia juga suka dengan masakan isteri saya iaitu nasi beriyani. Selepas ini, kami pasti akan merinduinya. Sementara itu, penyanyi Datuk Khatijah Ibrahim pula berlata, dia sedih kerana hasrat dia bersama Allahyarham untuk mengadakan konsert bersama nampaknya tidak akan terlaksana selepas pemergian beliau. Justeru itu, dia merancang untuk mengadakan sebuah konsert penghormatan kepada beliau dengan membawakan lagu-lagu popularnya. "Allahyarham mempunyai koleksi lagu evergreen yang sangat banyak. Memandangkan hasrat kami untuk mengadakan konsert bersama tidak tercapai, saya mahu membuat konsert khas bagi memperi penghormatan kepadanya. "Bukan senang untuk negara kita memiliki biduanita yang hebat sepertinya. Sekurangnya menerusi konsert tersebut, kita juga dapat memperingati jasa-jasanya kepada industri muzik tanah air kita," tuturnya. Datuk Khatijah Ibrahim Allahyarham telah meninggal dunia pada pukul 1.26 pagi Sabtu di Pusat Perubatan Pakar Damansara di sini akibat fibrosis paru-paru atau 'paru-paru berparut' selain terkena virus Influenza A H1N1. Berita kematian penyanyi lagu Seri Dewi Malam itu disahkan oleh rakan baik Allahyarham iaitu Aishah Ali. Sharifah Aini dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pusat perubatan itu pada Selasa lalu selepas mengalami kesukaran bernafas namun keadaan penyanyi itu dilaporkan stabil. Anak kelahiran Nee Soon, Singapura itu mula disunting sebagai penyanyi rakaman EMI selepas menjuarai pertandingan RTS 1968 di Singapura. Sepanjang 38 tahun menjadi artis rakaman syarikat itu, beliau telah merakamkan sebanyak 93 buah album termasuk 7 album Inggeris dan antara lagu popularnya termasuk Seri Dewi Malam, Hapuslah Air Matamu, Bunga Tanjung dan Kau Tinggi Di Awan Biru. Selain Herman Tino, penyanyi itu juga pernah berduet dengan Latif Ibrahim, Broery Marantika dan Sudirman Haji Arshad. Kehebatannya dalam dunia seni muzik membuahkan hasil apabila Allahyarham mendapat pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records sebagai penyanyi paling lama bernaung di satu syarikat rakaman dan memiliki 135 album. Mengenai kisah peribadinya pula, Allahyarham sebelum ini pernah berkahwin dengan seorang penganjur konsert, Ali Bakar pada tahun 1981. Bagaimanapun perkahwinannya hanya bertahan selama setahun selepas melahirkan anaknya, Aliff omar, 32. Kemudian, Allahyarham telah mengahwini dengan seorang ahli korporat, namun perkahwinan kali kedua yang dibina juga gagal bertahan dan beliau telah bercerai pada tahun 1992.