PETALING JAYA: Penganjuran Festival Empire Rock 2014 diyakini akan mendapat sambutan hebat daripada peminat muzik genre itu biarpun ada yang memandang skeptikal dengan acara tersebut.
Pengerusi Langkah Karya Production, Hazmimi Johar berkata, festival berkenaan bukan sahaja dapat menghimpun kumpulan pemuzik terbaik dari era berkenaan malah mampu membangkitkan semula kegemilangan rock dikalangan peminat terutamanya generasi muda.
"Muzik rock adalah antara yang paling ramai diminati tidak kira generasi lama atau pun baharu dan ini yang membuatkan kami terpanggil untuk mengadakan festival ini.
"Pihak kami yakin ia akan mendapat sambutan hebat daripada peminat rock di seluruh Malaysia," katanya.
Festival Empire Rock Malaysia 2014 anjuran bersama Kelab Penggiat Kumpulan Rock Malaysia bakal diadakan pada 23 Ogos depan di Matic, Jalan Ampang bermula pukul 5 petang sehingga 11.30 malam.
Antara kumpulan rock yang dijangka akan mengadakan persembahan pada acara itu adalah Samudera, Junction, Sofea, Sejati dan Putera.
Samudera yang popular dengan lagu Salam Sejahtera, Silaturahim dan Sudah Takdir Begitu bakal menggegarkan festival tersebut dengan kemunculan penyanyi asal kumpulan tersebut Ujang.