suria

Azad Jazmin Kesal Dituduh Terlibat Dengan Skim Cepat Kaya

Azad kesal apabila ramai yang menuduhnya menjalankan perniagaan MLM dan skim cepat kaya yang menipu orang ramai.
PETALING JAYA:Pelakon Azad Jazmin kesal keputusannya membeli sebuah motosikal berkuasa besar iaitu Ducati Diavel berharga lebih RM100,000 dikatakan hasil wang penipuan selepas menjalankan perniagaan skim cepat kaya.

Azad atau nama sebenarnya  Azad Jazmin John Louis Jeffri, 38, berkata, pembelian motosikal itu adalah hasil lakonannya ditambah dengan pendapatan sampingan menjalankan perniagaan berkonsepkan Networking Marketing iaitu Rania Marketing.

"Saya kesal orang ramai salah anggap kenyataan saya beli motor Ducati hasil bisnes seperti Mutilevel Marketing (MLM) atau skim cepat kaya.

"Walhal mereka tidak tahu sebenarnya saya guna duit lakonan saya selama ini dan juga duit bisnes tersebut. Lagipun saya memang sudah lama mengidamkan untuk mempunyai sebuah motorsikal Ducati.

"Sejak mula berlakon saya sudah letak sasaran untuk membelinya dan saya tidak sangka saya dapat memenuhi impian saya lebih awal lebih," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.

Contoh motor Ducati Diavel.

Azad berkata demikian ketika diminta mengulas tentang tuduhan pengunjung-pengunjung blog hiburan tempatan yang mempertikaiakan kemampuannya membeli sebuah motor berkuasa besar Ducati Diavel, manakala isterinya pelakon Eira Syazira sedang membuat pinjaman bagi sebuah kereta jenis Mitsubihsi Evo.

Mereka turut menuduh pasangan suami-isteri itu menjalankan bisnes berkonsepkan skim cepat kaya dengan niat memperdaya orang ramai.

Tambah Azad, bisnes Rania Marketing yang dijalankan bukan skim cepat kaya atau MLM sebaliknya berkonsepkan perniagaan pemasaran rangkaian (Network Marketing).

"Mereka salah anggap dengan konsep-konsep pemasaran ini. Saya ingin jelaskan bahawa perniagaan ini bukan MLM atau skim cepat kaya sebaliknya kita ada produk untuk dijual iaitu produk kosmetik Rania dan perniagaan ini ialah Networking Marketing.

"Saya merupakan orang pertama yang dilantik untuk jadi stokis dan tanggungjawab saya mencari stokis-stokis lain yang berminat untuk menjual produk ini," ujarnya.

Jelasnya, produk tersebut diusahakan oleh pengasas produk kosmetik Natasya iaitu Datuk Suhaimi Othman.

Tambah Azad lagi, dia tidak pernah berniat untuk menjalankan perniagaan yang berunsurkan penipuan terutama di dalam bulan Ramadan ini.

Dia akui kecewa apabila niat baik untuk membantu bangsa Melayu dalam memulakan perniagaan telah disalah ertikan.

"Saya tidak pernah niat nak menipu dan ambil jalan mudah untuk jadi kaya, tetapi ramai yang tidak henti-henti tuduh saya jual air liur sahaja.

"Kalau betul niat saya baik untuk membantu ekonomi orang Melayu, mereka akan tanggung semua fitnah-fitnah tersebut," katanya.
Azad Jazmin, Rania Marketing

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain