suria

Hijjaz Tegaskan Tiada Kaitan Dengan Pengganas

PETALING JAYA: Kumpulan Nasyid Hijjaz menegaskan mereka tidak mempunyai sebarang agenda atau terlibat dengan mana-mana kumpulan pengganas yang berhubung kait dengan jihad apabila menerbitkan klip video terbaharu berjudul Al-Qassam.

Penyanyi utamanya Munif Ahmad berkata, lagu tentang peperangan itu adalah sebagai memberi semangat kepada penduduk Gaza yang kini berhadapan dengan serangan Israel dan secara tidak langsung memberi kesedaran kepada masyarakat negara ini.

"Kami tidak terlibat atau menyokong mana-mana perjuangan pengganas atau jihad, Al-Qassam merupakan barisan tentera Islam yang mempertahankan negara mereka di sana.

"Ada segelintir masyarakat yang tidak faham tentang perkara itu dan menganggap tentera Al-Qassam sebagai pengganas. Sebenarnya, kami ada buat kajian tentang perkara ini dan mendapati bukan senang untuk menyertai tentera yang benar-benar berjuang di jalan Allah," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Rabu.

Munif berkata demikian ketika diminta mengulas tentang lagu terbaharu mereka berjudul Al-Qassam yang didakwa segelintir pihak sebagai menyokong pengganas.

Bagaimanapun, pada Rabu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan klip video yang mendapat perhatian sejak ia dilancarkan beberapa hari lalu itu hanya berunsur keagamaan.

Klip video yang berdurasi selama 5.35 minit itu juga disiarkan berulang kali di stesen televisyen di Gaza sebagai memberi semangat kepada pejuang-pejuang serta penduduk Palestin.

Video tersebut juga mencapai hampir 50 ribu penonton di YouTube sejak ia disiarkan empat hari lalu.

Klip video Al-Qassam dimainkan di televisyen Gaza.

Sementara itu, Munif berkata, ada beberapa pihak turut mempersoalkan pemakaian uniform dalam klip video tersebut menyerupai sesebuah angkatan tentera.
Katanya, ia sebenarnya merupakan baju yang ditaja oleh pihak permainan paint ball dan bukannya pakaian rasmi mana-mana pasukan keselamatan.

"Kami tidak pakai baju tentera atau pinjam daripada mana-mana organisasi kententeraan, ia hanya baju permainan paint ball, ini kerana kami menjalankan penggambaran klip video itu juga di lokasi permainan paint ball.

"Kami pakai baju itu kerana ia bersesuaian dengan konsep lagu ini, tak kan pula kami nak pakai jubah untuk lagu berunsur peperangan," ujarnya.

Dalam pada itu katanya, sejak populariti lagu ini meningkat secara mendadak, laman sosial Facebook dan YouTube kumpulan Hijjaz turut dihujani dengan pelbagai komen termasuk daripada penduduk Gaza.

Jelasnya, ramai masyarakat luar negara yang memberi komen positif dan mengucapkan rasa terima kasih kerana memberi sokongan kepada mereka.

"Kami tidak sangka lagu ini menjadi viral dan disiarkan di sana, saya bersyukur jika lagu ini dapat memberi sedikit semangat kepada mereka untuk meneruskan hidup dalam memperjuangkan bumi Gaza.

"Beberapa hari ini banyak komen-komen daripada luar negara di Facebook dan Youtube mengucapkan rasa terharu dan terima kasih mereka," katanya.

Lagu asalnya berjudul Briged al-Qassam dinyanyikan oleh Firqat aL-Wa3ed yang menjadi nadi utama pertahanan di Gaza. Lagu berkenaan diterjemah oleh kumpulan Hijjaz sebagai tanda solidariti rakyat Malaysia untuk Gaza.
Hijjaz, Al Qassam

Artikel Lain